Zamsaham tak jual Kelantan FC jika masih dapat sokongan

Norizam Tukiman
Norizam Tukiman
A
A
A

NORIZAM Tukiman mungkin tidak akan menjual Kelantan FC sekiranya penyokong masih mahu beliau menjadi pemilik kelab Pantai Timur itu.

Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menjelaskan pendiriannya itu menjawab soalan seorang penyokong di laman Facebooknya yang mahu beliau kekal menerajui Kelantan FC untuk tempoh semusim lagi.

"Kalau ramai masih mahukan saya 'lead', Insya-ALLAH saya takkan jual Kelantan FC," katanya.

Sebelum ini, isu penjualan Kelantan FC terus hangat diperkatakan dengan usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Hasmiza Othman dan pemilik Erfan Gym & Fitness, Erfan Akif menyatakan minat membeli kelab itu.

Proses perbincangan masih lagi berlangsung dan Zamsaham meminta kedua-dua mereka menunjukkan proof of fund (bukti dana) sebelum sebarang urusan jual beli pasukan diteruskan.

Kedua-dua pihak juga dilaporkan turut sudah menandatangani perjanjian kerahsiaan (NDA) bersama Zamsaham baru-baru ini.

Dalam pada itu, Zamsaham turut mengesahkan tiada lagi tunggakan gaji selepas semuanya sudah dilunaskan minggu lepas.

"Gaji dah bayar minggu lepas. EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) pun bayar. Kalau rezeki saya lebih, tentu saya akan bayar tepat pada masanya. Saya tak mahu lewat-lewat sebenarnya," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong Kelantan FC yang hadir ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu menyaksikan perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT).