Berpolitik jangan sentuh isu sensitiviti bangsa, agama - Mohd Na'im

A
A
A

TUMPAT - Parti politik seharusnya bertarung atas polisi serta dasar yang bakal diketengahkan untuk kebajikan rakyat dan bukan menyentuh sensitiviti negara, bangsa atau agama.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, kempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 15 Ogos juga perlu mengelakkan isu agama, raja dan kaum (3R).

Beliau memberitahu, penting bagi setiap parti politik mempromosikan polisi mereka ketika berkempen.

"Sepatutnya kita mengambil pendekatan walaupun berlainan politik sama ada pemerintah atau pembangkang, kita mahu memastikan rakyat hidup sejahtera," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Al-Falah Peringkat Negeri Kelantan di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Zamri Zainal Abidin.

Beliau turut menasihatkan semua parti supaya patuh kepada perintah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya mengelak perpecahan.

"Kita kena patuh dan akur dengan titah baginda. Bagaimana rakyat mahu hidup sejahtera jika mereka berpecah-belah," katanya.

Selain itu, beliau juga menasihatkan pemimpin politik tidak menjadikan tempat ibadah sebagai gelanggang politik.

Tambah beliau, setiap masjid sudah ada garis panduan tertentu yang tidak membenarkan perkara itu berlaku.

"Kita serahkan kepada pihak penguatkuasaan negeri untuk tindakan kerana pengurusan setiap masjid itu di bawah pihak berkenaan," katanya.

Pada majlis berkenaan, Dr Mohd Na'im menyampaikan sumbangan berjumlah RM2.9 juta kepada penerima dalam kalangan asnaf yang diberikan dalam pelbagai bentuk melibatkan Bayt Ar Rahmah iaitu projek bina dan baik pulih rumah kerana bencana dan Bakul Rahmah Madani.

Turut disumbangkan ialah Tunai Rahmah kepada pelajar bekeperluan khas serta peralatan hospital.

Sumbangan berkenaan akan diselaraskan oleh agensi-agensi di bawah kementeriannya kepada pihak terbabit.