'Ketatkan pengambilan guru taska, jangan tangkap muat'

Tina menunjukkan dokumen kelayakan dan sijil-sijil kursus diperlukan bagi kendalian sebuah taska ketika ditemui pada Sabtu.
Tina menunjukkan dokumen kelayakan dan sijil-sijil kursus diperlukan bagi kendalian sebuah taska ketika ditemui pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Pengusaha dan pengendali taska digesa tidak mengamalkan sikap tangkap muat dalam pengambilan guru dan pengasuh.

Penggiat dan Aktivis Pendidikan Awal Kanak-kanak, Tina Tajuddin berkata, kriteria yang ketat perlu dinilai agar individu yang diambil mengisi jawatan benar-benar berupaya menggalas tanggungjawab dengan baik.

"Tadika dan taska merupakan tempat yang harus memberikan lingkungan yang selamat dan berkualiti bagi perkembangan kanak-kanak.

"Ibu bapa yang memberikan kepercayaan anak-anak mereka ke dalam penjagaan tadika dan taska mempunyai hak untuk mengetahui bahawa anak-anak mereka berada dalam tangan yang aman dan dijaga dengan sepenuh jiwa oleh guru-guru berkualiti," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, dalam kebanyakan kes penderaan dan pengabaian di taska dan tadika berlaku berpunca daripada individu yang menjadikan profesion guru dan pengasuh sebagai 'bidang terjun'.

Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka tidak mempunyai jiwa sebagai pengasuh dan melaksanakan tugas dalam situasi terpaksa hingga mendorong berlakunya kes sedemikian.

"Lambakan program pendidikan awal kanak-kanak tidak membantu sekiranya hanya menawarkan atas dasar keuntungan semata-mata.

"Sudah tiba masanya kriteria mereka yang ingin menceburi bidang ini mendapat bimbingan yang betul sebelum menceburi bidang ini," katanya.

Pengasas Taska Ibu Tina itu berkata, kes penderaan yang berlaku seperti kejadian terbaharu di Meru Perdana 2, minggu lalu telah mencemarkan profession dan menyebabkan persepsi negatif kepada mereka yang menjalankan bidang mengikut standard sepatutnya.

"Kejadian ini mengingatkan kita semua tentang betapa pentingnya mencari tadika dan taska yang mempunyai guru yang berkualiti dan berdedikasi untuk melindungi kanak-kanak," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pengurus, guru taska ditahan kes dera lima kanak-kanak

Taska didakwa dera lima kanak-kanak diarah tutup

[VIDEO] Guru, pembantu taska didakwa aniaya lima kanak-kanak