Pengurus, guru taska ditahan kes dera lima kanak-kanak

PDRM
PDRM
A
A
A

IPOH - Tiga wanita termasuk guru ditahan bagi membantu siasatan kes dera melibatkan lima kanak-kanak dalam kejadian di sebuah taska di Taman Meru Perdana 2 di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada pengurus dan guru di taska berkenaan bagi membantu siasatan.

Jelasnya, sehingga kini pihaknya sudah menerima lima laporan polis berhubung kejadian dera di taska berkenaan membabitkan kanak-kanak berusia satu dan dua tahun.

"Pada 6 Julai lalu pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang memaklumkan bahawa anaknya mengalami kecederaan pada bahagian lengan kiri semasa diambil dari taska itu disyaki didera oleh guru di pusat jagaan berkenaan.

"Siasatan pihak polis berjaya menghasilkan tangkapan ke atas tiga orang wanita dalam lingkungan umur 25 hingga 51 tahun bagi membantu siasatan. Kesemua mereka direman selama tujuh hari sehingga 14 Julai depan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, kesemua suspek ditahan pada 7 Julai lalu selepas merakam percakapan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Yahaya berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiaya kanak-kanak dengan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal.

Menurutnya, pihak polis sedang melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tujuan pendakwaan.