Jangan 'tergelincir' kerana soal calon MB - Tok Mat

Mohamad pada sidang akhbar selepas hadir merasmikan Karnival Kerjaya Belia Parlimen Rembau.
Mohamad pada sidang akhbar selepas hadir merasmikan Karnival Kerjaya Belia Parlimen Rembau.
A
A
A

REMBAU - Semua parti di bawah Kerajaan Perpaduan sebaiknya elak daripada bercakap soal calon Menteri Besar supaya tidak tergelincir daripada fokus utama iaitu untuk memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rundingan berkenaan perkara itu antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) boleh dilakukan sebaik saja kerajaan negeri telah ditubuhkan.

"Macam inilah, 'we cross the bridge dahulu, pastikan menang dulu. Kalau minta-minta tapi tak menang pun tak guna juga. Janganlah kita berebut sangat jawatan, tapi pastikan kita boleh tubuh kerajaan dulu.

"Dah tubuh kerajaan nanti, kita runding elok-elok siapa yang kita putuskan misalnya dalam BN, siapa yang kita rasa paling layak. Selepas itu kita baharu berunding antara BN dan PH jika kedua-dua parti boleh tubuhkan kerajaan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Kerjaya Belia Parlimen Rembau di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menyatakan DAP Negeri Sembilan menyokong Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dikekalkan sebagai Menteri Besar sekiranya PH terus diberi mandat dalam PRN pada 12 Ogos ini.

Mengulas lanjut Mohamad yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan berkata, sesiapa pun boleh menyatakan sokongan, tetapi soal melantik Menteri Besar adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Besar, raja-raja atau sultan di kawasan masing-masing.

"Seperti di Johor dahulu, 'poster boy' kita adalah Datuk Seri Dr Hasni Mohammad (Ahli Parlimen Simpang Renggam), tetapi Sultan Johor memilih nak melantik orang lain jadi Menteri Besar.

"Itu parti tak boleh buat apa-apa kerana dalam perlembagaan, hak mutlak pelantikan Menteri Besar terletak kepada kuasa raja atau sultan," katanya.

Tambahnya, perkara yang perlu menjadi fokus kedua-dua gabungan itu sekarang adalah memastikan gerak kerja jentera bagi menghadapi PRN tidak lama lagi.