Cabaran Malaysia di Yogyakarta terhenti

Bryan-Han Chen
Bryan-Han Chen
A
A
A

MISI separuh akhir beregu lelaki negara, Bryan Jeremy Goonting-Low Han Chen dalam Kejohanan Badminton Remaja Asia 2023, berakhir apabila tewas kepada gandingan Indonesia, Zidane Attauba Efendi-Kleopas Binar Putra Prakoso dalam aksi suku akhir di Dewan Among Rogo, Yogyakarta, Indonesia.

Biarpun gandingan muda negara bermula baik apabila menang set pertama 21-18, namun mereka gagal mengekalkan prestasi apabila tewas dua set berikutnya 14-21, 16-21 kepada pasangan tuan rumah itu, dalam saingan selama 51 minit.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia mengakhiri cabaran tanpa sebarang wakil di separuh akhir.

Terdahulu empat wakil perseorangan negara gagal melangkah ke suku akhir kejohanan selepas masing-masing tewas dalam pusingan keempat.

Pemain perseorangan wanita negara, Ung Yi Xing tersingkir selepas tewas kepada pilihan pertama kejohanan dari Jepun, Tomoka Miyazaki 8-21, 14-21.

Dua lagi wakil perseorangan wanita, Ong Xin Yee dijinakkn wakil Indonesia, Ruzana Ruzana 20-22, 20-22.

Cabaran Siti Zulaikha Muhammad Azmi pula disekat pemain pilihan kedua kejohanan dari Thailand, Sirada Roongpiboonsopit, 21-17, 18-21, 19-21.

Sementara itu, perseorangan lelaki negara Muhammad Faiq Haziq juga mengakhiri cabaran selepas ditunjukkan jalan keluar oleh pemain China, Zhang Ning 8-21, 18-21.