Azeem kelima terbaik Asia

Azeem - Foto Agensi
Azeem - Foto Agensi
A
A
A

PELARI pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik Asia apabila menamatkan perlumbaan 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand pada Jumaat.

Pelari berusia 19 tahun yang berlari di lorong ketujuh berjaya menamatkan perlumbaan di Stadium Nasional Suphachalasai tersebut dengan catatan masa 10.25 saat (s).

Catatan sensasi diraih pelari berpangkalan di Amerika Syarikat itu adalah 10.09s pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia pada Ogos 2022.

Pingat emas diraih pelari Jepun, Hiroki Yanagita dengan catatan 10.02s manakala pingat perak milik atlet Arab Saudi, Abdullah Abkar Mohammed (10.19s), gangsa pula menjadi milik pelari pecut dari Iran, Hassan Taftian dengan catatan masa 10.23s.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat acara 100m adalah menerusi Watson Nyambek yang meraih perak dalam edisi Fukuoka 1998 di Jepun.

Azeem mara ke perlawanan akhir selepas meraih kedudukan kedua dengan catatan masa 10.35s pada saringan separuh akhir pertama.

Terdahulu cabaran seorang lagi pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, terhenti di separuh akhir apabila sekadar meraih tempat keenam dengan catatan masa 10.50s di saringan kedua.

Sebagai rekod, Azeem tidak mengambil bahagian dalam temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) Chengdu di China dari 28 Julai hingga 8 Ogos depan.

Sebaliknya Azeem dijangka akan melakukan persiapan rapi untuk Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest, Hungary, pada 19 hingga 27 Ogos ini.

Sementara itu, juara Sukan SEA Kemboja 2022, Veronica Shanti Pereira dari Singapura meneruskan prestasi menakjubkannya dengan merangkul emas selepas mencatat masa 11.20s dalam acara 100m akhir wanita.

Pelari Iran, Farzanah Fasihi pula memenangi perak dengan catatan masa 11.39s manakala Ge Manqi dari China terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas mencatat masa 11.40s.