Enggan lepas Wagner

Prigozhin yang memimpin Wagner sebelum ini menolak tawaran itu. - Foto Agensi
Prigozhin yang memimpin Wagner sebelum ini menolak tawaran itu. - Foto Agensi
A
A
A

MOSCOW - “Yevgeny Prigozhin enggan membenarkan anggota Wagner berkhidmat di bawah arahan orang lain."

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Rusia, Vladimir Putin setelah masa depan pasukan militia upahan berkenaan masih samar-samar susulan pengunduran mereka dari operasi ketenteraan di Ukraine selepas melancarkan pemberontakan singkat pada bulan lalu.

"Saya telah membuat tawaran kepada Wagner. Mereka akan ditempatkan di satu lokasi untuk terus berkhidmat dan diletakkan di bawah arahan veteran pernah terlibat Perang Soviet-Afghanistan, Andrei Troshev yang digelar 'Sedoy'.

"Tiada apa yang berubah kerana mereka akan dipimpin komander sebenar. Prigozhin yang memimpin Wagner sebelum ini menolak tawaran itu walaupun dipersetujui komander Wagner yang lain," kata Putin menerusi wawancara bersama akhbar Kommersant yang diterbitkan pada Khamis.

Difahamkan, cadangan itu dibuat ketika pemimpin itu bertemu Prigozhin dan komander Wagner yang lain pada 29 Jun lalu.

Wagner bergerak secara rahsia selama bertahun-tahun dan kewujudan mereka mula mendapat perhatian umum ketika kempen ketenteraan di Ukraine meskipun syarikat tentera persendirian dilarang beroperasi di Rusia.

"Pasukan Wagner tidak wujud secara sah. Perkara itu perlu dibahaskan di Duma Negara dan kerajaan," ujar Putin lagi.

Pada awal minggu lalu, tentera Rusia menerima lebih 2,000 peralatan ketenteraan termasuk kereta kebal dan pelancar roket mudah alih yang diserahkan Wagner.

Kementerian Pertahanan mengesahkan kesemua senjata dan peralatan itu akan diselenggara dan sebahagian besar daripadanya tidak pernah digunakan untuk bertempur.

Dalam perkembangan berkaitan, Pentagon mengesahkan Ukraine sudah menerima bekalan bom berangkai sebagai sebahagian daripada pakej keselamatan berjumlah AS$800 juta (RM3.6 bilion) yang disalurkan kepada Kiev untuk operasi serangan balas. - Agensi