'Fitnah bukan bahan dagangan politik'

Siti Aishah
Siti Aishah
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli politik di negara ini digesa tidak mengheret rakyat ke dalam situasi politik fitnah kerana fitnah bukan bahan dagangan politik.

Ahli Majlis Pimpinan (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat, Siti Aishah Shaik Ismail berkata, politik tidak harus digambarkan begitu murah dengan membiarkan fitnah menjadi asas politik.

"Cukuplah negara sekarang sedang berdepan dengan politik jumud yang dimainkan oleh mereka (pembangkang), jangan heret rakyat kepada situasi politik fitnah dengan gambaran bahawa sesiapa sahaja yang mampu menyerang Perdana Menteri sekiranya disaman akan dibantu untuk dipertahankan.

"Kritiklah semahunya dengan niat untuk menegur dan memperbaiki negara ini bersama," katanya salam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan Timbalan Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Shasha Lyna Abdul Latif yang mengkritik Anwar kerana lebih memilih untuk membuat laporan polis kepada individu yang didakwa memfitnahnya berbanding mengemukakan saman fitnah.

Sasha dilaporkan berkata, Perdana Menteri sepatutnya memfailkan saman fitnah bagi mempertahankan dirinya berhubung isu pemilikan sebuah rumah di Kajang dan kereta mewah, bukannya melibatkan polis dalam perkara itu.

Mengulas lanjut, Siti Aishah berpandangan, Perdana Menteri mengambil tindakan itu kerana lebih menekankan soal pembentukan sahsiah insaniah agar fitnah tidak terus menjadi alat politik.

"Kritikan saudari Shasha yang mempersoalkan mengapa Perdana Menteri tidak menggunakan saman sivil sebagai tindakan jelas menunjukkan bahawa saudari bukanlah seorang pemimpin yang baik dalam memahami pentas politik negara.

"Jika kita bercakap soal keuntungan laba daripada menang saman pasti itulah jalan yang diambil oleh mana-mana pihak, namun saya yakin di pihak Perdana Menteri beliau lebih mahu menekankan soal pembentukan sahsiah insaniah.

"Ia agar perkara yang menyentuh sesuatu tanpa bukti asas yang akhirnya menimbulkan fitnah harus dikenakan tindakan yang sesuai supaya ia menjadi rujukan kepada masyarakat yang lain," ujarnya.

Katanya, golongan wanita seharusnya lebih cakna dan peka bagi menjadikan politik negara ini lebih harmoni dan beradab.