[VIDEO] 'Rumah saya RM1 juta sahaja, bukan RM7.8 juta' - Abang Sanusi

A
A
A

SIK - Rumah banglo milik abang kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Kampung Batu Lapan di sini bernilai kira-kira RM1 juta bukannya RM7.8 juta seperti dakwaan sesetengah pihak.

Perkara itu disahkan sendiri pemilik, Shabudin Md Nor, 57, yang kini tinggal di sebuah rumah pusaka milik keluarga isteri, setelah bapa mentua meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Menurut Shabudin, mereka sekeluarga yang sebelum ini menetap di Sungai Petani, mengambil keputusan berpindah ke Sik bagi menemani ibu mertua.

Rumah banglo dibina Shabudin hasil titik peluk sebagai penyelam dasar laut.
Rumah banglo dibina Shabudin hasil titik peluk sebagai penyelam dasar laut.

"Baru-baru ini, ibu mentua pula meninggal dunia tetapi kami sekeluarga masih menetap di sini, sebab seronok tinggal di kampung, sebab itu buat rumah di belakang rumah pusaka yang telah uzur," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Shabudin yang merupakan penyelam dasar laut selepas berhenti berkhidmat sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjelaskan, banglo yang mula dibina sejak Februari 2022 itu berkeluasan 371 meter persegi, mempunyai enam bilik dan tempat letak kereta khas.

"Berita RM7.8 juta tak betul, ada laman web yang saya beli pelan rumah ni dah tulis kenyataan anggaran harga masa tu lebih kurang RM800,000 sahaja.

"Muhammad Sanusi tiada kaitan dengan pembinaan rumah ini tetapi menteri besar adalah adik saya. Bagi saya, rumah ini tidaklah besar mana, ada lagi yang lebih besar di Sik tetapi oleh kerana saya abang kepada menteri besar, jadi tular," katanya.

Shabudin di hadapan banglo yang dibina belakang rumah pusaka di Kampung Batu Lapan, Sik, Kedah.
Shabudin di hadapan banglo yang dibina belakang rumah pusaka di Kampung Batu Lapan, Sik, Kedah.

Bagaimanapun, dia yang masih aktif dalam karier itu menjelaskan, rumah banglo itu dibina hasil daripada titik peluh kerjaya sebagai penyelam dasar laut.

Ketika diminta menjelaskan berhubung gaji yang diperolehi sebagai penyelam, dia enggan berkongsi lanjut namun, menjelaskan sering dibayar melalui dolar AS.

Jelasnya, banglo berkenaan baharu sahaja siap dan mereka sekeluarga akan berpindah ke rumah tersebut selewat-lewatnya hujung Julai ini.

Shabudin turut mengakui sebagai anak kedua daripada 13 beradik, sedikit sebanyak telah membantu kedua ibu bapa menyara persekolahan adik yang lain.

Apabila ditanya reaksinya setelah cerita pembinaan banglo itu tular, jelasnya, tiada apa yang lebih penting sedangkan semua harta dimiliki ini hanya pinjaman sementara dari-Nya.

"Saya tak ambil kisah pun orang nak cerita apa, cuma isteri dan anak-anak kurang selesa... bagi saya, ini semua (cerita) politik semata-mata," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan rumah banglo berkenaan mempunyai kaitan dengan Muhammad Sanusi seperti mana tular di media sosial, sejak Isnin.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Kedah, kediaman itu sebenarnya adalah milik abang kepada menteri besar tersebut yang dibina hasil titik peluhnya sendiri setelah bekerja keras selama puluhan tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Banglo mewah di Sik bukan milik Sanusi