[VIDEO] Atlet Para Sukma raih PNGK 3.42 STPM

A
A
A

KOTA BHARU - Kudung tangan kanan hingga paras siku sejak lahir tidak menjadi halangan buat seorang pelajar perempuan meraih kejayaan dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 apabila memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.42.

Nurulain Natasha Marzuki, 20, mencatatkan keputusan berkenaan bagi empat mata pelajaran yang diduduki iaitu Pengajian Am (B), Bahasa Melayu (A-), Kesusasteraan Melayu Komunikatif (A) dan Geografi (B).

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa itu berkata, antara rahsia kejayaannya ialah solat sunat hajat dan duha yang dilakukan bersama usaha mengulang kaji pelajaran selama lima jam setiap hari.

Rorida (kiri) bangga dengan kejayaan Nurulain yang kudung tangan kanan sejak lahir.
Rorida (kiri) bangga dengan kejayaan Nurulain yang kudung tangan kanan sejak lahir.

Katanya yang juga atlet olahraga Kelantan bagi Temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) tahun lalu, dia akan mula menelaah buku bermula jam 8 malam sehingga 1 pagi di rumahnya.

“Saya menjalani waktu persekolahan seperti biasa pada sebelah pagi dan akan mengikuti latihan olahraga di Panji ketika petang.

“Jadi, hanya ada malam masa yang lapang untuk mengulang kaji pelajaran dan fokus menduduki peperiksaan,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan STPM di sekolah itu di sini, pada Khamis.

Rorida (kiri) dan Marzuki (kanan) bangga menerima keputusan Nurulain pada STPM 2022.
Rorida (kiri) dan Marzuki (kanan) bangga menerima keputusan Nurulain pada STPM 2022.

Gadis itu berkata, status sebagai orang kurang upaya (OKU) juga tidak pernah menyebabkan dirinya berasa rendah diri, bahkan menyahut cabaran bapanya, Marzuki Salleh, 54, yang sentiasa mahukan dia berjaya dalam pelajaran mahupun bersukan.

Ujarnya, ibunya, Rorida Deraman, 49, guru-guru dan kawan-kawan juga sentiasa menjadi tulang belakang dan menyokong setiap usaha yang dilakukan.

“Mereka terutama ibu bapa adalah sumber inspirasi untuk saya berjaya dan terus mengejar cita-cita untuk menjadi guru sukan tanpa putus asa.

“Saya mahu menyambung pengajian dalam bidang Sains Sukan di Universiti Pendidikan Sultan Idris untuk membalas jasa ibu bapa membesarkan saya dengan berniaga nasi berlauk pagi di Pengkalan Chepa,” kata Nurulain.

Sementara itu, Pengetua SMK Pengkalan Chepa, Raja Anoro Raja Kob berkata, seramai sembilan pelajar daripada sekolah berkenaan berjaya meraih keputusan PNGK 4.00 dan diberikan hadiah sebanyak RM500 seorang.