'Fokus dalam kelas, kalau boleh setiap hari buat cikgu tersenyum'

Mohd Soffi (kanan) bertanya rahsia kejayaan Efa (dua dari kanan) dan Mohamad Aiman (tiga dari kiri) selepas mereka diumumkan antara pelajar memperolehi PNGK 4.00 dalam STPM di SMK Astana pada Khamis.
Mohd Soffi (kanan) bertanya rahsia kejayaan Efa (dua dari kanan) dan Mohamad Aiman (tiga dari kiri) selepas mereka diumumkan antara pelajar memperolehi PNGK 4.00 dalam STPM di SMK Astana pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Fokus dalam kelas menjadi kunci kejayaan buat anak sulung daripada tiga beradik yang berjaya memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 yang diumum pada Khamis.

Dengan kejayaan itu, Mohamad Aiman Haziq Mohalis, 20, mahu meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

"Saya rancang hendak sambung belajar bidang bahasa Melayu, ekonomi atau pendidikan sama ada di Universiti Kebangsaan Malaysia ataupun Universiti Malaya," katanya ringkas ketika ditemui selepas pengumuman keputusan STPM 2022 Sekolah-Sekolah Negeri Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Astana pada Khamis.

Hadir sama, Exco Pertanian Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak.

Mohd Aiman berkata, selain menumpukan perhatian dalam bilik darjah, ulangkaji di rumah turut dilakukan bagi memastikan semua mata pelajaran difahami dengan jelas.

"Saya boleh bagi tahu (kongsi kejayaan) bahawa (ketika berada) dalam kita kelas kena fokus dan hormat cikgu. Kalau boleh setiap hari kita buat cikgu tersenyum, seterusnya mendapat reda mereka," ujarnya.

Bagi, Efa Sarima Anwar, 20, pula usaha berganda di saat akhir membuahkan hasil apabila akhirnya meraih kecemerlangan selepas keputusan rasmi dikeluarkan pada Khamis.

Dia mengakui terkejut apabila mendapat 4.00 dalam semua subjek termasuk mata pelajaran Pengajian Am.

"Masa percubaan semester tiga saya hanya peroleh keputusan 2A 1B dan 1D iaitu Pengajian Am, tapi dengan membuat ulang kaji melalui nota-nota, saya tidak sangka mendapat kejayaan sebegini.

"Jadi, usaha dan pecutan akhir yang saya lakukan dalam tempoh tiga minggu sebelum peperiksaan membuahkan hasil dan kini saya antara salah seorang pelajar cemerlang di sekolah ini (SMK Astana)," kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

Dia yang menetap di Indera Mahkota merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang ekonomi di universiti di negara ini.

"Saya minta dalam bidang ekonomi dan hendak sambung pengajian sehingga ke peringkat PhD (Ijazah Doktor Falsafah) dan mahu menjadi pensyarah," jelasnya lagi.