STPM: 78 calon di Pahang peroleh PNGK 4.00

Abdul Rahim (kiri) dan Mohd Soffi (kanan) menunjukkan calon dengan pencapaian terbaik kebangsaan bagi kategori Orang Asli selepas sidang akhbar pengumuman keputusan STPM 2022 Sekolah-Sekolah Negeri Pahang di SMK Astana pada Khamis.
Abdul Rahim (kiri) dan Mohd Soffi (kanan) menunjukkan calon dengan pencapaian terbaik kebangsaan bagi kategori Orang Asli selepas sidang akhbar pengumuman keputusan STPM 2022 Sekolah-Sekolah Negeri Pahang di SMK Astana pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 78 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 di Pahang memperoleh keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 berbanding 59 calon tahun sebelumnya.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Abdul Rahim Mohd Yunus berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 3.88 peratus.

"Mereka yang cemerlang terdiri daripada seorang calon daripada aliran Sains manakala 77 lagi adalah pelajar aliran kemanusiaan.

"SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Triang, Bera muncul sebagai sekolah yang melahirkan calon mendapat PNGK 4.00 paling ramai dengan lapan calon," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman keputusan STPM 2022 Sekolah-Sekolah Negeri Pahang di SMK Astana pada Khamis.

Hadir sama, Exco Pertanian Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak.

Abdul Rahim menjelaskan, seramai 2009 daripada 2,076 pelajar yang menduduki peperiksaan STPM 2022 dengan peratus kehadiran 96.7.

Tambahnya, pada peperiksaan STPM lalu, seramai 1,997 orang calon atau 99.40 peratus telah mendapat kelulusan penuh iaitu mendapat sekurang-kurangnya satu mata pelajaran lulus penuh.

"Peratusan calon yang lulus penuh dalam lima mata pelajaran ialah 0.70 peratus atau bersamaan 14 orang calon. Bagi pencapaian calon yang lulus penuh dalam empat mata pelajaran pula, seramai 1,633 calon bersamaan 81.2 peratus telah berjaya mencapainya.

"Peratus yang dicapai ini menunjukkan penurunan seramai 11 calon berbanding pada tahun 2021. Namun begitu, berlaku peningkatan dalam peratus iaitu 0.94 peratus," katanya.

Beliau memaklumkan, 41 sekolah bantuan penuh kerajaan telah mendaftar calon dan 32 daripadanya mencapai prestasi kelulusan penuh 100 peratus manakala sembilan lagi mencapai kelulusan melebihi 90 peratus.

Jelasnya, SMK Dong, Raub mengungguli prestasi cemerlang STPM dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 3.8 mata dan 100 peratus calon sekolah terbabit memperoleh kelulusan penuh empat mata pelajaran.

"Diikuti SMK LKTP Tersang, Raub memperoleh 3.56 mata; SMK LKTP Chini (3.19), SMK Rompin (3.23) dan SMK Triang (3.21).

"Sementara itu, SMK Sulaiman, Bentong dan SMK Jerantut pula dengan pencapaian 3.19 mata, SMK Agama Tengku Ampuan Hajah Afzan, Jerantut (3.18) dan SMK Purun, Bera dengan 3.17 mata," ujarnya.

Abdul Rahim juga memberitahu GPS bagi sekolah-sekolah negeri Pahang adalah lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya dengan 2.90 mata.

Dalam pada itu, seorang calon dari SMK Muadzam Shah, Rompin, Mazwin Faulin a/p Mohd Azlin dinobatkan sebagai calon dengan pencapaian terbaik kebangsaan bagi kategori Orang Asli.