STPM: Terengganu catat PNGK 3.04 atasi PNGK nasional

Sebahagian pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM 2022 di SMK Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu pada Khamis.
Sebahagian pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM 2022 di SMK Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu merekodkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.04 peratus mengatasi PNGK nasional iaitu 2.82 peratus dengan perbezaan 0.22 peratus dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 yang diumumkan pada Khamis.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran) Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Kasman Embong berkata, pencapaian semua A penuh (PNGK 4.00) meningkat sebanyak 5.23 peratus melibatkan seramai 112 calon berbanding 64 calon pada 2021.

Menurutnya, prestasi PNGK sekolah di Terengganu juga menunjukkan peningkatan dengan rekod 3.02 pada 2019, 2020 (3.03) dan 3.03 pada 2021.

"Keputusan semua A penuh pada 2022 menunjukkan peningkatan kepada seramai 112 orang. Sebelum ini pada 2019 seramai 72 calon mencapai keputusan sama dan 55 calon mendapat A penuh pada 2020.

"Sebanyak 29 daripada 46 sekolah mencapai PNGK 3.00 ke atas berbanding 27 buah pada 2021," katanya ketika Pengumuman Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia STPM 2022 Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di sini, pada Khamis.

Dalam peperiksaan itu, seramai 2,178 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan di 46 pusat peperiksan berbanding seramai 2,139 calon pada tahun sebelumnya.

Dalam perkembangan sama, katanya, sebanyak 38 daripada 46 buah sekolah di Terengganu mengatasi PNGK nasional (2.82) di samping 43 daripada 46 sekolah mendapat keputusan lulus penuh 100 peratus.

Beliau memberitahu, SMK Penarek, Setiu mencatat PNGK terbaik (3.43) dan 100 peratus terbaik bagi pencapaian semua prinsipal (5P/4P) sementara SMK Sultan Sulaiman merekodkan pencapaian PNGK (4.00) terbanyak dengan seramai 16 calon.

"Bagi peperiksaan STPM 2022, seramai 1,203 calon (55.21 peratus) mendapat PNGK 3.00 ke atas berbanding 1,187 (56.60 peratus) pada 2021.

"STPM Terengganu juga mencatatkan kecemerlangan (terbaik kebangsaan) bagi tahun 2019, 2020, 2021 dan 2022," katanya.