PRN: Pas kecam tindakan lawan fitnah Sanusi

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Ahmad)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Ahmad)
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pas Kedah mengecam tindakan sesetengah pihak yang menggunakan serangan fitnah bagi menjatuhkan lawan politik khususnya menyentuh hal peribadi Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya mempersoalkan tindakan pihak lawan tersebut yang disifatkannya sebagai ketandusan modal politik sehingga terpaksa memainkan isu-isu peribadi yang tidak bersangkutan.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, perkara itu menggambarkan hipokrasi politik matang yang sering dilaungkan oleh sesetengah pihak.

"Mengata dulang paku serpih, mengata orang mereka yang lebih. Tuduhan semberono sebegini sememangnya menjadi amalan politik mereka," dakwanya.

Jelas Ahmad Yahya, sejak bertukar pentadbiran, pelbagai tuduhan menyimpang dihalakan kepada Perikatan Nasional (PN).

"Mereka menuduh Tan Sri Muhyiddin Yassin terlibat dalam rasuah sedangkan kes tersebut belum pun dibicarakan dalam mahkamah.

"Begitu juga tuduhan ke atas Datuk Seri Tuan Ibrahim sebelum ini ketika beliau menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) oleh Rafizi Ramli, namun, ia terus menyepi sehingga ke hari ini," dakwanya.

Beliau mendakwa, PN juga dituduh menerima dana daripada syarikat perjudian yang akhirnya terbukti ia satu fitnah dan pembohongan.

"Satu Malaysia menyaksikan pembohongan dan fitnah menjadi 'makanan' mereka dalam berpolitik.

"Lebih malang lagi ada badan-badan penguat kuasa diarahkan oleh pihak tertentu untuk terus menjatuhkan reputasi Menteri Besar Kedah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak,"dakwanya.

Menurut Ahmad, Pas Kedah sekali lagi mengulangi bahawa rakyat Malaysia seharusnya menjauhi politik kotor yang dimainkan oleh pihak lawan.

"Politik fitnah dan adu domba bukanlah identiti politik negara yang harus diangkat ke tengah.

"Pas Kedah yakin rakyat sudah matang untuk menilai yang mana kaca, manakala PN sebagai permata. Jelas dan terang," dakwanya.