Mahkamah benar injunksi halang roboh pusat khidmat DUN Gombak Setia

Penguat kuasa PTD Gombak dan MPS hadir ke Pusat Khidmat Gombak Setia bagi menyerahkan notis pengosongan kerana menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran baru-baru ini.
Penguat kuasa PTD Gombak dan MPS hadir ke Pusat Khidmat Gombak Setia bagi menyerahkan notis pengosongan kerana menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran baru-baru ini.
A
A
A

GOMBAK - Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan perintah injunksi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berhubung arahan pengosongan Pusat Khidmat DUN Gombak Setia oleh Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak.

Hilman mendakwa notis pengosongan atau merobohkan pusat khidmat itu yang dikeluarkan oleh kerajaan Selangor melalui pentadbir PTD Gombak pada 6 Julai lalu sebagai tidak sah, menyalahi undang-undang dan bermotif politik.

Pihaknya kemudian telah mendapatkan permohonan untuk mendapatkan perintah injunksi terhadap pentadbir PTD Gombak dan kerajaan negeri bagi menghalang tindakan tersebut pada Rabu.

"Setelah mendengar permohonan saya melalui peguam Sasha Lyna Abdul Latif dari Messrs Sasha Lyna, perintah injunksi telah diberikan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Zaharah Hussain. Perintah ini adalah berkuat kuasa serta-merta.

"Ini bermakna, jika kerajaan negeri melalui PTD Gombak masih meneruskan tindakan terhadap Pusat Khidmat Gombak Setia maka mereka boleh dikenakan tindakan melanggar perintah dan menghina mahkamah," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Hilman berkata, beliau nekad mengambil tindakan undang-undang itu ke atas kerajaan negeri yang didakwa salah guna kuasa, berunsur ugutan dan politik dendam bagi mengusir dan memusnahkan pejabat berkenaan.

"Saya ingin menegaskan bahawa Pusat Khidmat Gombak Setia akan terus memberi khidmat kepada rakyat Gombak Setia sehinggalah selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan datang.

"Tugas dan tanggungjawab saya kepada warga Gombak Setia tidak akan terhenti semata-mata kerana pembubaran Dewan Negeri Selangor," katanya.

Hilman sebelum ini memaklumkan Pusat Khidmat Rakyat Gombak Setia telah sekali lagi didatangi oleh penguat kuasa PTD Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk menyerahkan dan menampal Notis Kesalahan Pendudukan Secara Tidak Sah di atas Tanah Kerajaan Seksyen 425 & 426A (1)(C) Kanun Tanah Negara 1965.

Beliau menganggap tu tindakan terdesak dan bermotifkan salah guna kuasa, ugutan & vendetta politik oleh kepimpinan kerajaan negeri yang jelas takut akan kebangkitan rakyat menjelang PRN Selangor.