Rasuah sukan Olimpik Tokyo: Bekas ketua firma pengiklanan dihukum penjara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TOKYO - Mahkamah Tokyo pada Rabu menjatuhi hukuman penjara yang ditangguhkan ke atas bekas presiden syarikat pengiklanan Jepun ADK atas tuduhan rasuah yang dikaitkan dengan penajaan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo, lapor Xinhua.

Mahkamah Daerah Tokyo menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap Shinichi Ueno, 69, ditangguhkan selama empat tahun selepas beliau dituduh membayar kira-kira 14 juta yen (AS$100,000) kepada bekas eksekutif jawatankuasa penganjur Olimpik Tokyo, Haruyuki Takahashi atas alasan pemilihan penaja.

Menurut keputusan itu, Ueno bersekongkol dengan dua orang bawahannya, Shigeharu Hisamatsu, 64, dan Toshiaki Tada, 61, untuk memilih ADK sebagai ejen pemasaran untuk acara global itu.

Hisamatsu dijatuhi hukuman penjara satu tahun enam bulan, ditangguh selama tiga tahun dan Tada dipenjara setahun yang ditangguhkan selama tiga tahun. Keputusan telah dimuktamadkan.

Skandal rasuah berprofil tinggi yang menyelubungi Sukan Tokyo membawa kepada dakwaan terhadap 15 orang termasuk Takahashi yang didakwa menerima rasuah daripada Ueno dan yang lain sebagai balasan untuk membantu syarikat memenangi kontrak sebagai penaja Olimpik atau ejen pemasaran.

Dengan keputusan terbaharu, sembilan daripada mereka telah didapati bersalah. - Bernama