Kemarau cetus pencemaran toksin kulat dalam dedak haiwan

Penternak kecil kini menghadapi ancaman membimbangkan iaitu pencemaran toksin kulat dalam dedak haiwan disebabkan kemarau panjang.(Gambar hiasan) - Foto 123rf. Gambar kecil: Nik Iskandar
Penternak kecil kini menghadapi ancaman membimbangkan iaitu pencemaran toksin kulat dalam dedak haiwan disebabkan kemarau panjang.(Gambar hiasan) - Foto 123rf. Gambar kecil: Nik Iskandar
A
A
A

SHAH ALAM - Penternak kecil kini menghadapi ancaman membimbangkan iaitu pencemaran toksin kulat dalam dedak haiwan disebabkan kemarau panjang.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Dr Nik Iskandar Putra Samsudin berkata, isu berkenaan menimbulkan risiko besar kepada kesejahteraan haiwan ternakan serta kestabilan ekonomi penternak kecil.

Jelasnya, dedak haiwan itu berfungsi sebagai sumber nutrisi penting untuk haiwan ternakan bagi menjamin tumbesaran, kesihatan, dan produktiviti namun pencemaran tersebut akan menjadi satu isu yang meluas dan berpanjangan.

"Ini kerana pola iklim khatulistiwa di Malaysia dan negara serantau yang panas dan lembap sepanjang tahun sangat sesuai untuk pertumbuhan kulat dan penghasilan toksinnya.

"Toksin itu juga dikenali sebagai mikotoksin, dihasilkan oleh jenis kulat tertentu yang boleh menjangkiti tanaman seperti jagung, gandum, dan kacang soya, yang lazim digunakan dalam formulasi dedak haiwan ternakan.

"Isu ini menjadi lebih teruk dengan keadaan negara dan dunia bergelut dengan fenomena El Nino yang menyebabkan musim kemarau berpanjangan dan penurunan taburan hujan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah Nik Iskandar, selain perubahan iklim, pencemaran mikotoksin dalam dedak haiwan ternakan juga dipengaruhi oleh amalan pengurusan ladang dan kaedah penyimpanan dedak.

Berikutan itu, ujarnya, ujian berterusan dan pemantauan berkala dedak haiwan tersebut penting bagi pengesanan awal dan pencegahan pencemaran mikotoksin.

"Usaha kerjasama antara penternak, perkhidmatan pengembangan pertanian, dan institusi penyelidikan seperti UPM dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) boleh memberikan penternak kecil akses kepada perkhidmatan ujian yang berpatutan dan diguna pakai.

"Maklumat ini boleh membantu penternak membuat keputusan tepat mengenai kualiti dedak untuk penggunaan haiwan ternakan, dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengurangkan risiko pencemaran mikotoksin," katanya.

Beliau berkata, sokongan kerajaan dan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan juga penting dalam menangani cabaran pencemaran mikotoksin yang dihadapi oleh penternak kecil.

"Inisiatif pembiayaan yang menggalakkan penyelidikan mengenai strategi pengurangan mikotoksin boleh membantu penternak kecil dalam melindungi haiwan ternakan dan mata pencarian mereka," ujarnya.