Sanusi dedah punca kerajaan Mukhriz tumbang

Muhammad Sanusi (kanan) dan Mukhriz (kiri)
Muhammad Sanusi (kanan) dan Mukhriz (kiri)
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan punca sebenar kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir tumbang pada 2020.

Beliau mendakwa, Pas ketika itu menawarkan sokongan kepada Mukhriz namun ditolak oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu sehingga berlakunya peralihan kuasa di Kedah.

Menurutnya, Pas meletakkan syarat akan menyokong Mukhriz untuk kekal sebagai Menteri Besar Kedah sekiranya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ramai tak tahu, saya pernah ‘offer’ Mukhriz, saya bukan nak jatuhkan dia pun sebagai Menteri Besar ketika itu. Saya cakap, Datuk Seri (Mukhriz) saya bawa mandat Pas, Datuk Seri beri sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, semua kerusi Pas akan sokong Datuk Seri kekal Menteri Besar,” katanya, ketika bersiaran dalam program podcast ‘Keluar Sekejap’ dikendalikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Hamdan pada Selasa.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu mendakwa, Mukhriz sebaliknya tidak memberi sebarang jawapan kepadanya ketika perjumpaan yang diadakan di kediaman Mukhriz.

“Dia (Mukhriz) tak beri jawapan, biasalah dia tak menjawab serta merta. Saya tunggu dua tiga hari masih tiada jawapan dari Mukhriz. Dia nampak macam tak bersetuju dengan cadangan saya itu, jadi berlaku lah apa yang berlaku,” jelasnya.

Menurutnya, ketika pergolakan politik itu, beliau tidak pernah berhasrat untuk mengambil alih jawatan berkenaan daripada Mukhriz untuk menerajui negeri bermula Mei 2020.

“Selepas PRU14, kebetulan yang menang kalangan 15 ADUN, saya ada pengalaman sikit dalam pentadbiran kerajaan ketika menjawat Setiausaha Politik Menteri Besar (Tan Sri Azizan Abdul Razak), jadi saya dilantik Ketua Pembangkang DUN Kedah,” jelasnya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu berkata, tidak pernah terfikir untuk menjadi Menteri Besar selepas bergelar ADUN Jeneri buat kali pertama pada 2018.

“Saya berkawan dengan ramai orang ketika jadi Setiausaha Politik kepada Azizan (2008 hingga 2013) daripada pemandu, tukang sapu hingga kepada MB saya jaga.

“Mungkin Pas anggap saya lebih berpengalaman, mungkin itu penilaian yang dibuat Pas. Saya tidak pernah bermimpi, terlintas dalam fikiran pun tidak (untuk menjadi menteri besar),” katanya.