GB4B minta kerajaan timbang wujudkan semula PLKN

Ridhwan (kiri) ketika bertemu dengan kumpulan belia di Jalan Hang Tuah pada Rabu.
Ridhwan (kiri) ketika bertemu dengan kumpulan belia di Jalan Hang Tuah pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan diminta mempertimbangkan semula untuk mewujudkan program pengisian jati diri seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan sebelum ini.

Presiden Gerakan Belia 4B (GB4B), Datuk Ridhwan Mohd Ali berkata, ini penting kerana golongan muda pada ketika ini kurang dengan program memperkasakan nilai jati diri dan kenegaraan.

Menurutnya, lebih membimbangkan golongan itu terdedah dengan masalah sosial termasuk penyalahgunaan dadah selain kurang minat untuk menyambung pelajaran selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"PLKN adalah satu program yang baik menanam jati diri kebangsaan dalam jiwa orang-orang muda, kalau boleh diwujudkan memang baik cuma harapnya bergantung pada keadaan kewangan negara.

"Dari sudut orang muda, saya melihat kalau dapat diwujudkan semula, ini satu usaha yang baik untuk tambah dan juga memperkasa semangat mereka," katanya ketika ditemui di Jalan Hang Tuah di sini, pada Rabu.

Ridhwan berkata demikian ketika mengulas laporan media baru-baru ini bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sedang mengesan sekitar 1.097 juta penagih dadah di seluruh negara dalam usaha memberikan rawatan dan pemulihan kepada kumpulan berkenaan.

Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berkata, setakat tahun lalu, pihaknya sudah mengesan seramai 124,139 penagih dadah di negara ini, dengan penglibatan golongan belia dalam penagihan dadah dikategorikan sebagai membimbangkan.

Tambah Ridhwan, modul PLKN boleh ditambah baik mengikut peredaran masa.

"GB4B juga akan melaksanakan kolaborasi contoh dengan syarikat perindustrian minyak dan gas yang boleh memberi peluang kerjaya kepada belia," katanya lagi.