6 anggota polis ditahan di pusat hiburan ditukar ke cawangan lain

Mohd Yusri (berdiri, kiri) meninjau Program Derma Darah PDRM Perak Sempena Hari Polis ke-216 Tahun 2023 di ruang legar sebuah pusat membeli belah pada Rabu.
Mohd Yusri (berdiri, kiri) meninjau Program Derma Darah PDRM Perak Sempena Hari Polis ke-216 Tahun 2023 di ruang legar sebuah pusat membeli belah pada Rabu.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Polis Perak telah menerima arahan untuk menukar enam anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang ditahan di sebuah pusat hiburan di sini pada Sabtu ke cawangan lain.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, arahan tersebut diterima daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Sehubungan itu beliau menyerahkan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dan JIPS Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang sedang menjalankan siasatan ketika ini.

"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dengan penyalahgunaan kuasa integriti dan sebagainya.

"Kita serahkan kepada pihak JIPS Bukit Aman dan JIPS PDRM Perak untuk menjalankan siasatan ke atas mereka ini," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Derma Darah PDRM Perak Sempena Hari Polis ke-216 Tahun 2023 di ruang legar sebuah pusat membeli belah di sini pada Rabu.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata, tindakan sama ada menggantung tugas anggota terbabit akan dibuat sejurus siasatan selesai.

Pada Selasa, media melaporkan enam anggota polis ditahan ketika berhibur bersama seorang wanita warga Indonesia di sebuah pusat hiburan di Bercham di sini, Sabtu lalu.

Kesemua anggota berpangkat koperal dan lans koperal itu ditahan dalam serbuan oleh JIPS Bukit Aman bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Difahamkan salah seorang seorang anggota terbabit didapati mengambil minuman keras dan seorang lagi positif dadah jenis ganja menerusi ujian saringan air kencing.

Pemeriksaan sekitar jam 11.30 malam itu turut menemukan sepeket serbuk putih disyaki dadah di dalam tandas bilik karaoke berkenaan.

Sementara itu, Mohd Yusri merakam penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program derma darah tersebut sempena Sambutan Hari Polis ke-216 peringkat IPK Perak itu.

Katanya, selain pegawai dan anggota polis yang hadir, terdapat juga ketua-ketua jabatan kerajaan lain termasuk pihak Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, selain derma darah, turut dibuka reruai PDRM untuk orang ramai menyemak saman trafik selain memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai modus operandi kegiatan penipuan.

ARTIKEL BERKAITAN:

6 anggota polis ditahan di pusat hiburan, seorang positif dadah

JAIPk tahan anggota polis mabuk di pusat hiburan