Thailand galak pasangan miliki ramai anak

Menjelang 2036 Thailand akan menjadi masyarakat hiper-usia, namun berdepan masalah kadar kelahiran yang rendah. - Foto EPA
Menjelang 2036 Thailand akan menjadi masyarakat hiper-usia, namun berdepan masalah kadar kelahiran yang rendah. - Foto EPA
A
A
A

BANGKOK - Setiap keluarga Thailand perlu menyasarkan untuk mempunyai sekurang-kurangnya dua anak bagi membantu menghentikan kejatuhan kadar kelahiran di negara itu, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik Ketua Pengarah Kesihatan Thailand, Suwannachai Wattanayingcharoenchai.

"Terdapat sekurang-kurangnya satu juta kelahiran di Thailand setiap tahun dari 1963 hingga 1983, tetapi kadar kelahiran turun kepada 502,107 tahun lalu dan mungkin di bawah 500,000 tahun ini.

"Pada masa sama, jumlah warga emas semakin meningkat. Pada tahun 2021 Thailand menjadi masyarakat menua dengan individu berusia 60 tahun atau lebih merangkumi 20 peratus daripada penduduknya.

"Menjelang 2036 negara ini akan menjadi masyarakat hiper-usia, dengan warga emas membentuk 30 peratus penduduknya, jika trend itu berterusan,” kata pegawai kanan kesihatan itu pada Selasa, bersempena dengan Hari Penduduk Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang disambut pada 11 Julai.

Sejak 2016, kerajaan Thailand telah cuba menggalakkan orang ramai untuk mempunyai lebih ramai anak tetapi langkah itu tidak berjaya.

Langkah terbaru termasuk pembukaan lebih banyak taska, hak untuk cuti bersalin dan paterniti yang ditambah baik, dasar bekerja dari rumah dan waktu kerja yang fleksibel.

Kerajaan juga menangguhkan persaraan wajib dan mempromosikan simpanan persaraan serta program vokasional untuk membantu menangani isu masyarakat menua. - Bernama-VNA