PRN: Noh jangka tsunami 2008 bakal landa Selangor

Noh berucap semasa Program Jelajah Selangor Baharu Selayang di Simpang 4 Taman Selayang Mutiara- Kampung Bendahara di sini pada Selasa malam.
Noh berucap semasa Program Jelajah Selangor Baharu Selayang di Simpang 4 Taman Selayang Mutiara- Kampung Bendahara di sini pada Selasa malam.
A
A
A

SELAYANG - [DIKEMAS KINI] Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menjangkakan Selangor bakal dilanda tsunami politik sepertimana yang berlaku apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) tewas kepada Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2008.

Noh berkata, jika tsunami 2008 boleh menukar kerajaan BN di Selangor, perkara sama dijangka berlaku kepada kerajaan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos depan.

"Tsunami politik Selangor luar biasa dan pada PRU (Pilihan Raya Umum) 2004 di Selangor BN menang 100 peratus di 22 kerusi Parlimen, manakala kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) pula menang 54 daripada 56 kerusi kecuali di Sungai Pinang dan Sekinchan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Program Jelajah Selangor Baharu Selayang di Simpang 4 Taman Selayang Mutiara- Kampung Bendahara di sini pada Selasa malam.

Bagaimanapun Noh berkata, tsunami pada 2008 menyebabkan BN terus hilang kuasa di Selangor apabila hanya memenangi 20 kerusi sahaja.

"Kalau peristiwa tsunami 2008 boleh menukar kerajaan BN, saya fikir insya-ALLAH tsunami sama akan berlaku menukar kerajaan PH ini," jelas beliau.

Noh memberitahu, terdapat tiga kumpulan dalam UMNO dijangka menyokong PN dalam PRN kali ini.

Jelas beliau, kumpulan pertama terdiri daripada mereka yang tidak menyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Ini bukan saya cakap, tetapi orang UMNO sendiri jumpa saya.

"Saya ramai kawan daripada UMNO dan beritahu mereka jangan keluar parti tetapi yang penting undi dan pangkah PN," jelas beliau.

Menurut Noh, kumpulan kedua ahli UMNO yang tidak puas hati kerjasama parti itu dengan PH dan DAP.

Jelas beliau, kumpulan ketiga pula terdiri daripada ahli UMNO yang menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ketiga-tiga kumpulan pada PRU15 lalu, mereka ini sokong BN dan kali ini mereka dijangka memangkah PN.

"Selain itu, rakan komponen BN daripada MCA dan MIC juga kecewa dengan kedudukan mereka dalam BN dan percaya mereka juga bersama PN," ujar beliau.

Noh memberitahu, kumpulan terakhir daripada PH yang dahulu menyokong parti itu tidak berpuas hati pendirian parti itu masa sekarang.

"Kumpulan ini dulu sokong PH, tetapi kali ini beritahu tidak bersama apabila PH berkawan dengan BN," jelasnya.