Penduduk mengeluh, tujuh tahun dibelenggu tekanan air rendah

Faridah mendakwa tekanan air rendah menjadi punca berlaku ganggu bekalan air di kawasan taman perumahan mereka.
Faridah mendakwa tekanan air rendah menjadi punca berlaku ganggu bekalan air di kawasan taman perumahan mereka.
A
A
A

KUANTAN - Penduduk Taman Pandan Aman 2 di sini, merayu agar isu tekanan air rendah yang didakwa berlaku sejak tujuh tahun lalu diselesaikan segera.

Mereka mendakwa terputus bekalan air setiap kali hujung minggu, selain mengalami gangguan pada waktu kemuncak pada hari-hari biasa.

Malah, penduduk turut mendakwa sudah beberapa kali laporan telah dibuat kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) berhubung isu berkenaan, namun ia tiada sebarang perubahan.

Mohamad Arif Hamzah, 38, berkata, bagi mengatasi masalah tersebut, dia mengambil inisiatif sendiri memasang enjin berasingan pada paip utama rumahnya bagi menambahkan tekanan air.

Dia mengakui itu antara langkah yang terpaksa dilakukan pada ketika ini daripada terus tertekan dengan isu ketiadaan air.

Mohamad Arif
Mohamad Arif

"Kami kena keluarkan kos tambahan, kalau tidak memang tiada air untuk digunakan di dapur atau untuk urusan harian lain.

"Jadi, mahu tidak mahu kami terpaksa menggunakan keadah ini," katanya yang menetap di situ sejak 2016.

Dia yang bekerja sendiri itu mendakwa, masalah itu sudah terlalu lama berlarutan dan sewajarnya diberikan perhatian oleh pihak bertanggungjawab.

Seorang lagi penduduk, Faridah Husin, 58, mendakwa pihak PAIP memaklumkan bahawa ketiadaan bekalan air di kawasan taman perumahan itu setiap kali hujung minggu disebabkan penggunaan air terlalu tinggi dalam tempoh tersebut.

"Tapi masalahnya, isu tekanan air rendah ini bukan hanya berlaku hujung minggu, tapi hari biasa (bekerja) pun sama juga,.

"Jadi, bagi saya alasan penggunaan air terlalu tinggi pada hujung minggu bukanlah jawapan bijak dan rasanya di Kuala Lumpur lagi ramai orang, banyak penggunaan air setiap hari, tapi jarang kita dengar isu sama seperti kami hadapi ini," katanya yang bekerja sendiri.

Faridah
Faridah

Sehubungan itu, Faridah harap pihak PAIP atau kerajaan negeri boleh memberi perhatian dalam menyelesaikan isu dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.

Jelasnya, gangguan bekalan air berterusan menyebabkan ada segelintirnya telah mengambil keputusan berpindah berikutan tidak tahan berdepan masalah berkenaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya ketika ditemui selepas meninjau masalah berkenaan memberitahu, isu itu akan dibangkitkan kepada kerajaan Pahang dalam masa terdekat.

Menurutnya, pegawai berkaitan dari PAIP hadir untuk melihat sendiri masalah dihadapi penduduk di sini.

"Saya baru dimaklumkan berhubung isu ini pada malam tadi (Isnin) dan sudah tentu satu jalan penyelesaian perlu dicari," katanya.