PKR angkat suara muda melalui konvensyen Sabtu ini

Atyra Hanim (kiri) bersama Ketua Penerangan AMK, Haziq Azfar Ishak sewaktu sidang media mempromosikan Konvensyen Suara Anak Muda yang bakal diadakan pada 15 Julai ini di PJ Live Arts.
Atyra Hanim (kiri) bersama Ketua Penerangan AMK, Haziq Azfar Ishak sewaktu sidang media mempromosikan Konvensyen Suara Anak Muda yang bakal diadakan pada 15 Julai ini di PJ Live Arts.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengangkat suara anak muda daripada pelbagai latar belakang, pendidikan dan pekerjaan menerusi konvensyen yang bakal diadakan pada Sabtu ini.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Atyra Hanim Razali berkata, Konvensyen Suara Anak Muda itu merupakan satu inisiatif parti untuk mengangkat suara golongan berkenaan supaya kerajaan cakna tentang permasalahan golongan itu.

“Perhimpunan ini akan menjadi satu platform untuk anak muda menyuarakan permasalahan yang dihadapi dan mengemukakan pendapat bagi mengatasi isu tersebut.

“Hasil resolusi perhimpunan berkenaan akan dipanjangkan kepada anggota pentadbiran yang terkait,” katanya sewaktu sidang media mempromosikan Konvensyen Suara Anak Muda pada Selasa.

Atyra Hanim berkata, konvensyen tersebut bakal menampilkan tujuh golongan belia untuk mengemukakan permasalahan, pandangan dan pendapat dalam penggubalan dasar kerajaan.

Antara kumpulan belia itu ialah Orang Asli, petani muda, pekerja ekonomi gig, doktor kontrak dan pekerja kesihatan awam, atlet, urbanis serta mahasiswa.

Menurut beliau, hasil resolusi perhimpunan berkenaan akan dipanjangkan kepada anggota pentadbiran yang berkaitan.

“Hasil berkenaan juga merupakan sumbangan AMK bagi Kerajaan Perpaduan dalam merangka naratif ekonomi Madani.

“Secara tidak langsung, konvensyen itu juga dapat memastikan kepentingan dan kesejahteraan golongan belia marginal dirangkumkan dalam pembuatan polisi kerajaan secara keseluruhan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan faktor lain yang mendorong perhimpunan itu diadakan adalah untuk mencapai tiga objektif resolusi umum.

“Pertamanya, kita mahu mengukuhkan kebaikan awam yang mana ia melibatkan kesihatan dan pengangkutan umum yang sering digunakan oleh orang ramai.

“Kedua ialah negara kendiri yang mana ia merupakan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mahu mengeluarkan makanan sendiri dan ketiga adalah gaji bermaruah untuk anak muda,” jelasnya.

Kata Atyra Hanim, apabila suara anak muda didengari oleh kerajaan ia akan menjadikan Malaysia sebuah pentadbiran yang berteraskan ihsan serta inklusif.