Harnden tak sabar lihat aksi Azeem di Bangkok

Azeem. Foto Agensi
Azeem. Foto Agensi
A
A
A

JURULATIH pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi iaitu Ken Harnden teruja untuk melihat aksi anak didiknya itu pada Kejohanan Olahraga Asia 2023 di Bangkok, Thailand bermula 12 Julai ini.

Beliau tidak mahu memberi tekanan kepada bintang berusia 19 tahun itu susulan atlet dari Perak itu baru pulih sepenuhnya daripada kecederaan pangkal paha kanan.

Azeem mengalami kecederaan tersebut ketika beraksi di suku akhir Kejohanan NCAA di Jacksonville, Florida, Amerika Syarikat pada hujung Mei lalu.

“Saya akan berada di sana (Kejohanan Asia) dan berharap dia kekal sihat serta boleh bersaing dengan baik pada kejohanan itu.

"Apa pun saya tak sabar untuk berada di sana,” kata Harnden.

Jurulatih berusia 50 tahun itu optimis Azeem yang merupakan pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) berada dalam keadaan terbaik untuk menyertai kejohanan tersebut.

“Dia sudah enam minggu tiada kejohanan, jadi mungkin sedikit ‘tumpul’, namun saya percaya dia mampu buat yang terbaik,” kata Harnden.

Olimpian dari Zimbabwe itu merupakan individu penting membimbing Azeem di Universiti Auburn, Alabama yang menyaksikan atlet itu kekal konsisten dengan catatan masanya sepanjang tahun ini.

Sentuhan Harnden menyaksikan hampir beberapa kali Azeem memadam rekod 100m kebangsaan miliknya dengan percubaan terbaik adalah 10.11s pada 12 Mei lalu.

Azeem juga akan bergandingan dengan Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa dan Mohamad Thaqif Mohammad Hisham bersaing dalam acara 4x100m pada aksi di Stadium Nasional Supachalasai itu.