Harga telur naik: Peniaga tak naik harga makanan

Rosni menunjukkan harga telur ayam dan telur masin yang meningkat di Pasar Transit Bachang di sini, semalam.
Rosni menunjukkan harga telur ayam dan telur masin yang meningkat di Pasar Transit Bachang di sini, semalam.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Biarpun dibebani kenaikan harga telur ayam, namun seorang pengusaha gerai makan memilih untuk tidak menaikkan harga makanan.

Zolkifli Ayob, 57, berkata, setiap hari dia menggunakan lebih 30 biji telur untuk menu masakan seperti mi kari, lontong, roti canai dan sebagainya dan sudah pasti kenaikan itu sememangnya dirasai memandangkan setiap hari juga dia membeli barangan mentah termasuk telur.

Menurutnya, kebiasaannya dia membeli telur gred C dengan harga RM9.80 sepapan bagi 30 biji telur ayam, namun sejak beberapa minggu lalu harga bagi kuantiti yang sama naik hingga RM13.50.

“Memang terasa, sebab kita setiap hari guna telur untuk memasak, tapi saya tak sampai hati nak menaikkan harga menu makanan walaupun majoriti makanan yang saya jual perlu menggunakan telur seperti mi kari.

“Harap dapat diturunkan harga telur, sebab memang bebankan bila bahan mentah contoh mi goreng perlu guna dua biji telur, belum lagi dikira nak bayar gaji pekerja dan kos lain, seolah-olah tidak pulang modal,” katanya.

Bagi peniaga barangan runcit di Pasar Transit Bachang, Rosni Abd Rahman, 40, berkata, dia terpaksa menaikkan harga dua sen bagi harga sebiji telur gred AA yang sebelum ini dijual dengan harga 46 sen sebiji.

Menurutnya, kenaikan itu tidak dapat dielakkan kerana pembekal terlebih dahulu menaikkan harga yang disebabkan beberapa faktor kemungkinan penggunaan telur yang banyak untuk majlis perkahwinan pada musim cuti sekolah ini.

Malah katanya, harga telur masin juga meningkat hingga 95 sen sebiji berbanding sebelum ini 90 sen dan mereka tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga kerana penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka sentiasa membuat pemantauan.

Artikel Berkaitan:

“Memang ada pelanggan yang bising dan mengadu, namun mereka tetap beli juga sebab nak guna, lebih-lebih lagi musim cuti sekolah begitu juga telur masin RM50 bagi 39 biji mengikut gred juga.

“Tapi kenaikan ini taklah terlalu tinggi, dan bukan kami sengaja untuk naikkan harga sewenang-wenangnya, tapi disebabkan pihak atas yang naikkan harga dulu jadi kami tak boleh nak kekalkan harga kerana jual telur untungnya sedikit sahaja selain persaingan ramai,” katanya.