Pindaan isu kerakyatan anak dibentang Oktober depan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Persidangan Undang-undang Malaysia Antarabangsa 2023 hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Persidangan Undang-undang Malaysia Antarabangsa 2023 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pindaan Artikel 15(A) Perlembagaan Persekutuan melibatkan isu kewarganegaraan anak rakyat Malaysia yang dilahirkan di luar negara akan dibentangkan pada persidangan Parlimen Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pindaan itu akan melibatkan penggantian perkataan 'bapa siapa' dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan 'sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu bapa'.

"Dalam undang-undang kita hanya menyebut bapa, tak termasuk ibu. Jadi, kita nak masukkan ibu bapa dalam pindaan itu.

"Tidak adil kalau kita letakkan hanya bapa. Ini isu anak yang tidak berdosa, dilahirkan atas percintaan dan perkahwinan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia (IMLC) 2023 anjuran Majlis Peguam Malaysia di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Turut berangkat, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir; Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz.

Hadir sama, Presiden Pengasas Institut Demokrasi (IDEAS), Tunku Zain Al-’Abidin Ibni Tuanku Muhriz; Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Majlis Peguam Karen Cheah Yee Lynn.

Mengenai nasib orang tanpa kerakyatan, Anwar menjelaskan, Kementerian Dalam Negeri banyak menerima permohonan kerakyatan dan kerajaan melihat keperluan mendesak untuk diambil tindakan.

“Beberapa isu kritikal menyumbang kepada cabaran yang dihadapi oleh orang tanpa kerakyatan di Malaysia. Bagi anak-anak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu Malaysia, usaha untuk menyelesaikan isu kewarganegaraan untuk mereka sedang dijalankan.

“Pindaan ini juga akan dikemukakan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja dalam masa terdekat. Saya percaya Majlis Raja-Raja akan berikan sokongan dan kita akan kemuka pindaan pada sidang Parlimen Oktober depan," katanya.