Vida tidak akan tarik diri, tetap mahu beli Kelantan FC

VIDA
VIDA
A
A
A

USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida tidak akan menarik diri daripada hasratnya membeli Kelantan FC walaupun berdepan saingan daripada pemilik Erfan Gym & Fitness, Erfan Akif Ruslan.

Menurutnya, satu perbincangan tertutup sudah diadakan bersama pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman pada Sabtu dan berlangsung positif.

Beliau berkata, beberapa perbincangan susulan akan diadakan selepas ini bagi terus mendapatkan gambaran sebenar mengenai kelab pantai timur itu.

"Semalam, kami sudah adakan perbincangan secara tertutup dengan Zamsaham untuk mendengar sendiri kedudukan terkini keadaan Kelantan FC.

"Jadi, kami mendapat penerangan daripada pihak mereka dan perjumpaan susulan akan dibuat lagi kerana banyak benda perlu diambil kira dan banyak benda saya nak tengok secara mendalam mengenai Kelantan FC.

"Apa yang saya boleh kata perjumpaan pertama ini positif dan ada ruang untuk saya ambil Kelantan FC," katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Sebelum ini, Vida secara rasmi menyatakan hasrat mahu membeli Kelantan FC dalam usaha menyelamatkan pasukan itu yang sedang dilanda kemerosotan prestasi.

Bagaimanapun, beliau menerima saingan daripada Erfan yang turut berminat membeli kelab itu walaupun diletakkan harga RM10 juta.

Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham mengakui tertarik dengan tawaran dikemukakan Erfan dan mahu dia menunjukkan bukti dana tersebut terlebih dahulu.

Dalam pada itu, beliau juga tidak melihat RM10 juta sebagai nilai yang sepadan dengan Kelantan FC.

"Zamsaham belum berikan nilai Kelantan FC dengan kami juga perlu melihat proses due diligence dan kami akan lihat nilai sebenar Kelantan FC.

"Kalau Erfan mampu, belilah RM10 juta. Saya tengok keadaan dan kaji dulu dan saya tidak mahu semberono nilai RM10 juta. Pada saya Kelantan FC mungkin tidaklah senilai begitu.

"Kalau dia berani dengan nilai RM10 juta, teruskanlah. Namun, saya takkan tarik diri dan mahu terus bincang beli Kelantan FC," katanya.