'Kedah sebelah Pulau Pinang, apa impaknya?' - Amirudin

Amirudin (kiri) menyantuni rumah penduduk sempena program Madani Afiat pada Ahad.
Amirudin (kiri) menyantuni rumah penduduk sempena program Madani Afiat pada Ahad.
A
A
A

GOMBAK - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membidas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengatakan Selangor maju disebabkan kedudukannya terletak bersebelahan Kuala Lumpur.

Dalam nada sinis, Amirudin mempersoalkan pula impak ekonomi Kedah yang terletak bersebelahan dengan Pulau Pinang.

"Sanusi perlu tengok cermin, sebelum tengok negeri orang kena tengok negeri sendiri dulu. Kedah sebelah Pulau Pinang, tetapi apa impaknya?

"Pulau Pinang sudah berkembang jauh, dapat pelaburan besar, kedudukan ekonomi tertinggi selepas Selangor dan Kuala Lumpur, tetapi Kedah masih menyumbang di bawah lima peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya.

Sanusi menerusi wawancara di Facebook baru-baru ini menyatakan keyakinan Kedah mampu menjadi negeri paling maju jika Kuala Lumpur berada berhampiran negeri tersebut.

Beliau menyangkal Selangor menjadi negeri termaju disebabkan ditadbir di bawah Pakatan Harapan (PH) sebaliknya 'bertuah' kerana kebetulan berada dekat dengan Kuala Lumpur.

Amirudin berkata, Kuala Lumpur sebelum ini sebahagian daripada Selangor dan mendapat limpahan Selangor kerana kedudukan strategik serta berjaya menyediakan bandar satelit sejak 70-an lagi.

Tambah Amirudin, beliau akan ke Kedah minggu depan untuk berkongsi tip menjadi negeri terbaik.