Gerak inisiatif cegah ketirisan subsidi diesel, petrol

Razim (dua dari kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil peserta program, Pengerusi Persatuan Nelayan kawasan Pulau Pangkor, Hussain Sha'ari, dengan disaksikan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM, Hamdan Mamat (kiri) dan Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Perak, Mansor Yusof (kanan).
Razim (dua dari kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil peserta program, Pengerusi Persatuan Nelayan kawasan Pulau Pangkor, Hussain Sha'ari, dengan disaksikan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM, Hamdan Mamat (kiri) dan Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Perak, Mansor Yusof (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menganjurkan Program Antirasuah Bersama Komuniti Nelayan (Pengurusan Skim Subsidi dan Petrol Nelayan) Tahun 2023, sebagai usaha memberi pendedahan mencegah ketirisan dalam skim subsidi diesel dan petrol dalam golongan nelayan Perak.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, Datuk Razim Mohd Noor berkata, peranan dan tanggungjawab komuniti nelayan semua adalah besar dalam memastikan ekonomi negara terus berkembang, oleh itu pemberian skim itu perlu digunakan sebaik mungkin, selain mengelak daripada terjerumus kepada amalan salah guna pemberian skim berkenaan.

Justeru katanya, adalah menjadi tanggungjawab SPRM juga bagi memastikan industri perikanan bebas dari sebarang gejala rasuah.

“Program ini menjadi penghubung antara LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia), komuniti nelayan dan SPRM. SPRM berharap program ini memberi pemahaman kepada pemimpin-pemimpin nelayan tentang tanggungjawab bersama dalam usaha memerangi pelakuan rasuah dan salah guna kedudukan.

"(Ia termasuk) kesalahan-kesalahan yang bertentangan dengan nilai Islam serta fokus utama dalam penyelewengan isu-isu rasuah dan ketirisan yang melibatkan subsidi diesel dan petrol kepada komuniti nelayan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup pada program berlangsung di Hotel di Seri Malaysia, Ipoh anjuran bersama LKIM dan Persatuan Nelayan Negeri Perak.

Dalam pada itu, Razim juga mengingatkan semua peserta, subsidi diesel dan petrol wajib digunakan bagi tujuan aktiviti penangkapan ikan sahaja tanpa disalahgunakan.

Tetamu kehormat bergambar bersama peserta-peserta program yang terdiri daripada lebih kurang 50 ahli lembaga persatuan nelayan negeri Perak di bawah LKIM.
Tetamu kehormat bergambar bersama peserta-peserta program yang terdiri daripada lebih kurang 50 ahli lembaga persatuan nelayan negeri Perak di bawah LKIM.

"Ini adalah amanah yang dipikul bersama bagi memastikan setiap sen wang kerajaan tidak dibocorkan. SPRM bersedia untuk bekerjasama dalam isu ini jika terdapat sebarang aduan atau maklumat yang diterima," tegasnya.

Seramai 50 ahi lembaga persatuan nelayan negeri Perak di bawah LKIM hadir pada program itu.

Pengisian program berkenaan membabitkan sesi penerangan dan forum mengenai kesalahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009 dan isu-isu rasuah yang berlaku melibatkan ketirisan subsidi diesel dan petrol nelayan.

Data pada tahun 2021 menunjukkan sektor perikanan negara menghasilkan pengeluaran perikanan, termasuk pengeluaran perikanan darat, akuakultur dan perikanan tangkapan yang bernilai RM14.88 bilion.

Nilai itu menyumbang 0.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).