'Serangan pembangkang hanya adu domba, fitnah diulang-ulang' - Anwar

Anwar
Anwar
A
A
A

SHAH ALAM - Serangan pihak pembangkang terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan hanya berbentuk adu domba dan fitnah yang diulang-ulang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tersebut tidak mengejutkan ekoran rakyat telah saksikan isu yang dibawa mereka dalam beberapa sidang Parlimen kontang dan lemah.

"Rakyat dan negara perlukan kestabilan dan ia penting untuk kita paculkan sebuah tatanan contoh yang kuat ekonomi dan rakyatnya bersatu padu, tidak dipecahkan dengan adu domba perkauman dan agama.

"Kestabilan tidak mungkin kita terjemahkan dengan baik sekiranya setiap minggu, setiap bulan rakyat dihidangkan dengan cerita gerakan dalam gelap untuk menumbangkan kerajaan.

"Sekiranya berani dan benar 'dah cukup jumlah', gunakan saluran yang betul dan demokratik melalui Usul Undi Tidak Percaya di Parlimen dan kerajaan bersedia berdepan dengannya," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Sabtu.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut mempersoalkan naratif yang cuba dilemparkan ke arah Kerajaan Perpaduan setakat ini.

Sehingga kini ujar beliau, belum ada kritikan yang bernas dan membina dari pembangkang.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN), Anwar memaklumkan, pimpinan PH dan Barisan Nasional (BN) akan bekerjasama dengan semangat persahabatan dan perpaduan bagi memastikan Kerajaan Perpaduan dapat membentuk kerajaan-kerajaan negeri pada 12 Ogos nanti.

ARTIKEL BERKAITAN:

Jadikan PRN medan buktikan kekukuhan Kerajaan Perpaduan - Anwar

Jentera Kerajaan Perpaduan perlu kerja keras, pastikan menang PRN - Anwar