Mahkamah arah merit permohonan semakan Bung, Zizie didengar

Bung Moktar dan Zizie Izette.
Bung Moktar dan Zizie Izette.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat, mengarahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendengar merit permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya untuk menyemak keputusan supaya mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

Panel tiga hakim diketuai Hakim, Datuk Hadhariah Syed Ismail sebulat suara mendapati mahkamah bertanggungjawab untuk mendengar merit permohonan Pengerusi BN Sabah itu dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad terlebih dahulu.

“Sebelum ini, ia tidak dapat dilakukan selepas mahkamah menolak permohonan pasangan ini dengan alasan, peguam bagi pihak pembelaan memfailkan permohonan menggunakan kaedah yang salah.

“Permohonan mereka tidak didengar pada tahun lalu, atas alasan teknikal,” katanya yang turut bersidang bersama Hakim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Bagaimanapun, tiga panel hakim ini tidak menetapkan sama ada permohonan itu didengar oleh hakim yang sama atau berlainan.

Pengurusan kes di mahkamah tinggi bagi kes berkenaan, ditetapkan pada 14 Julai depan.

Bung Moktar dan Zizie Izette dijadualkan mula membela diri atas pertuduhan rasuah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob pada 10 Julai ini.

Pada 9 Disember tahun lalu, pasangan ini gagal dalam permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan bantahan awal oleh pasukan pendakwaan supaya menolak permohonan tersebut.

Dalam prosiding sebelum ini, pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa, bantahan awal itu dikemukakan atas alasan permohonan berkenaan tidak sepatunya difailkan melalui notis usul.

Beliau berkata, kaedah berkenaan adalah salah dan bertentangan dengan Seksyen 3 dan 36 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, dibaca bersama Seksyen 3 dan 36 Kanun Tatacara Jenayah.

Bung Moktar dan isterinya memfailkan permohonan secara berasingan pada 19 September lepas antara lain memohon Mahkamah Tinggi memanggil serta memeriksa rekod prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang mendengar dan memutuskan agar mereka membela diri terhadap pertuduhan rasuah serta bersubahat.

Pasangan suami isteri itu memohon mahkamah tinggi membatalkan kepitusan mahkamah sesyen pada September lalu, kerana hakim mendakwa, hakim yang mendengar perbicaraan kes, terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta.

Ia selepas mahkamah memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan pemohon menerima suapan daripada dua ejen pelaburan, yang juga merupakan saksi utama kes.