Seleweng diesel bersubsidi guna lori tangki air

Lori tangki air yang digunakan untuk mengangkut minyak diesel bersubsidi sebelum disimpan di dalam sebuah stor di Taman Pertama di sini.
Lori tangki air yang digunakan untuk mengangkut minyak diesel bersubsidi sebelum disimpan di dalam sebuah stor di Taman Pertama di sini.
A
A
A

IPOH - Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya mematahkan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi menggunakan lori tangki air dalam serbuan di Taman Pertama di sini pada Khamis.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Perak, Mohamed Aznanshah Khalid berkata, serbuan tersebut dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak di sebuah stor di dalam kawasan penyelenggaraan bahan binaan tanpa nombor di taman perumahan berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari.

Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat daripada orang awam serta risikan yang dijalankan selama seminggu di sekitar Bandar raya Ipoh.

"Modus operandi sindiket ini dengan cara membeli minyak diesel dengan harga subsidi melalui tangki asal lori tangki air secara berulang-ulang iaitu sekitar 8 hingga 10 kali dengan anggaran 2,000 liter sehari di beberapa stesen minyak sekitar Ipoh.

"Mereka cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menggunakan lori tangki air ini dan kemudiannya memindahkankan minyak diesel dalam tangki asal lori tersebut ke tangki simpanan lain dan dikumpulkan di kawasan stor tersebut," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Mohamed Aznanshah berkata, hasil pemeriksaan ketika serbuan mendapati sebanyak 2,400 liter cecair disyaki minyak diesel ditemui disimpan di premis berkenaan selain sebuah pam penyedut minyak dan sebuah lori yang digunakan untuk membeli minyak diesel turut berada di situ.

Sebahagian barang-barang yang dirampas dalam serbuan di sebuah stor di Taman Pertama di sini pada Khamis.
Sebahagian barang-barang yang dirampas dalam serbuan di sebuah stor di Taman Pertama di sini pada Khamis.

Katanya, semua barangan tersebut disita untuk tindakan lanjut manakala nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM87,960.

Beliau berkata, susulan itu juga, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun dipercayai penjaga premis turut ditahan untuk siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"KPDN ingin memberikan amaran keras dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyalahgunaan barangbarang kawalan ini.

"Masyarakat atau pengguna disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutamanya berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti ini ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan untuk membanteras aktiviti penyelewengan tersebut seterusnya mengelakkan ketirisan subsidi kerajaan melalui saluran-saluran yang disediakan.