Rindu dengar anak panggil 'umi'

Wan Mohd Fikri ( tengah) menyampaikan sumbangan kepada Azizon.
Wan Mohd Fikri ( tengah) menyampaikan sumbangan kepada Azizon.
A
A
A

KOTA BHARU - Ibu kepada pelajar yang menghidap radang otak meluahkan kerinduan untuk mendengar anaknya memanggil 'umi' semula selepas empat bulan berada dalam separuh koma.

Azizon Ab Hamid, 46, berkata, anak kedua daripada lima beradik, Azreen Afiza Azhari, 23, itu juga pernah berjanji mahu membalas jasa kedua ibu bapa selepas tamat pengajian di sebuah universiti tempatan.

Bagaimanapun, Azizon reda dengan kejadian yang menimpa anaknya yang mesra dipanggil Angah itu selepas mengalami tekanan perasaan kronik dan kini disahkan menghidap radang otak.

“Saya nak dengar sangat, Angah panggil saya umi tapi tidak mengapa, saya terima ketentuan ALLAH SWT,” katanya ketika menerima lawatan pegawai Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) di kediamannya dekat sini.

Jelas Azizon, Azreen Afiza juga tidak memberi sebarang respons tetapi dia tahu anaknya mengalami kesakitan jika air mata berlinang.

Azizon juga bersyukur kerana banyak pihak tampil membantu selepas kisah anaknya disiarkan di media sekali gus dapat mengurangkan beban tanggungan untuk keperluan harian Azreen.

"Terima kasih kepada MAIK dan pembayar zakat yang memberikan bantuan segera dan bulanan kepada kami," ujarnya.

Menurut Azizon, bantuan itu juga akan digunakan untuk menampung kos perubatan anaknya yang mencecah lebih RM2,000 sebulan termasuk membayar sewa mesin sedut kahak, lampin pakai buang dan susu formula khas.

Melalui lawatan berkenaan, wakil MAIK, Pegawai Tadbir Agihan Zakat, Wan Mohd Fikri Wan Sani dan Pegawai Komunikasi Korporat, Muhamad Firdaus Mat Rahim menyampaikan sumbangan berkenaan.

Wan Mohd Fikri berkata, sumbangan itu daripada pembayar zakat yang setia melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Kami menyampaikan bantuan perubatan berjumlah RM3,000 dan meluluskan Bantuan Bulanan Fakir dan Miskin sebanyak RM1,000 sebulan," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Hari Raya Aidiladha tahun ini tidak bermakna buat pasangan suami isteri, Azizon Ab Hamid, 46, dan Azahari Mahmood, 51, selepas anak kedua mereka terlantar dalam keadaan separuh koma sejak dua bulan lalu.