Peluang pekerja masuk universiti guna pengalaman kerja

Mohd Soffi (tengah) menyaksikan pertukaran MOU yang akan ditandatangani oleh Mohd Zawavi (kiri) bersama salah satu agensi pada Majlis Perasmian Program Seso Jelajah Agensi Kelayakan Malaysia bersama Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT), Zon Timur pada Khamis.
Mohd Soffi (tengah) menyaksikan pertukaran MOU yang akan ditandatangani oleh Mohd Zawavi (kiri) bersama salah satu agensi pada Majlis Perasmian Program Seso Jelajah Agensi Kelayakan Malaysia bersama Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT), Zon Timur pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) melebarkan akses pengajian dengan memberi peluang kepada pekerja yang tidak memiliki sijil kelayakan bagi memasuki universiti menggunakan pengalaman mereka untuk melanjutkan pengajian.

Naib Canselor UnIPSAS, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata, tawaran itu dibuat selepas mendapat kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk melaksanakan Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL) kepada mereka yang tidak memiliki sijil kelayakan bagi memasuki universiti.

Menurutnya, kaedah tersebut mampu memberi peluang bukan sahaja kepada masyarakat tetapi lepasan sekolah pondok, tahfiz dan orang kurang upaya termasuk cacat penglihatan.

"Kita tahu ada segelintir individu tiada kelayakan (sijil akademik), tapi berdasarkan pengalaman mereka boleh menyambung pelajaran di sini.

"Jadi, kelayakan mereka ini akan uji menerusi pusat penilaian APEL dan ada soalan yang kita sediakan kepada mereka berdasarkan panduan MQA.

"Penilaian ini dibuat bagi menentukan tahap mereka sama ada layak sambung pengajian dalam bidang diploma, ijazah, ijazah sarjana dan mungkin juga Phd (ijazah doktor falsafah)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Seso Jelajah Agensi Kelayakan Malaysia bersama Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT), Zon Timur, di sini pada Khamis.

Majlis itu disempurnakan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam majlis terbabit, UnIPSAS turut mengambil peluang untuk menzahirkan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama lima agensi iaitu Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), Pertubuhan Sahabat Huffaz Pahang, Persatuan Pondok Turath Pahang, Persatuan Institusi Tahfiz Negeri Pahang (Pinta) dan Politeknik Sultan Ahamd Shah (POLISAS).

Mohd Zawavi berkata, MoU yang bakal ditandatangani merupakan langkah UnIPSAS untuk meluaskan akses pendidikan tinggi mereka.

"Ia juga secara tidak langsung dapat menggiatkan lagi aktiviti penyelidikan di antara UnIPSAS dengan institusi tersebut," katanya.

Sementara itu, menerusi ucapan yang dibacakan, Mohd Soffi berkata, kerajaan Pahang melalui UnIPSAS sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan MQA dalam memartabatkan pendidikan negeri.

Katanya, sebagai universiti milik kerajaan negeri, ia akan dipastikan melangkah ke hadapan bukan sahaja menawarkan program APEL tetapi pelbagai kursus yang bersifat 'micro credential'.

“Justeru, kerjasama antara universiti dan MQA merupakan antara inisiatif terbaik dalam memastikan kualiti program mencapai standard terbaik.

“Di samping itu juga dapat memberi peluang kepada masyarakat amnya untuk terus meningkatkan pencapaian akademik mereka,” katanya.