Pertemuan Tun M, Muhyiddin bukan perkara baharu - Anwar

Anwar. - Foto Bernama
Anwar. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak akan terjejas, walaupun wujud kerjasama antara dua bekas perdana menteri, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas pertemuan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi merintis kerjasama untuk gerakan Proklamasi Orang Melayu baru-baru ini, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata ia bukanlah suatu perkara yang baharu.

"Kelompok itu tetap akan bersekongkol untuk mempertahankan cara mereka dan harta mereka. Jadi, kita bertanggungjawab untuk menyelamatkan negara tercinta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan International Social Wellbeing Conference 2023 di sini pada Khamis.

Mengenai keputusan MCA dan MIC untuk tidak bertanding bagi PRN yang diadakan Ogos ini, Anwar berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada beliau oleh kedua-dua presiden parti berkenaan.

"Mereka menyatakan peringkat ini tidak akan bertanding namun menyatakan sokongan... Saya mengucapkan terima kasih atas kesediaan mereka untuk membantu dan mempertahankan kedudukan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

PRN yang melibatkan Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan secara serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos. - Bernama.