Pegawai Maritim Malaysia tidak mengaku terima suapan

Mohd Fadzil ketika tiba di Mahkamah Butterworth, pada Khamis.
Mohd Fadzil ketika tiba di Mahkamah Butterworth, pada Khamis.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini atas lima pertuduhan menerima suapan berjumlah RM7,900 daripada seorang individu enam tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Fadzil Abdullah, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Mohd Fadzil yang ketika itu berkhidmat sebagai Bintara Muda Maritim Gred T6 Maritim Malaysia Pulau Pinang didakwa menerima suapan daripada seorang lelaki berusia 38 tahun yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di beberapa bank sekitar negeri ini antara 17 April 2017 sehingga 2 Ogos 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkiflee.

Afiqa Liyana memohon jaminan RM15,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri ke pejabat SPRM berhampiran setiap bulan.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 10 Ogos depan untuk sebutan semula kes.