Dua nelayan hilang ditemui lemas

Pasukan bomba dan nelayan membawa mayat mangsa lemas ke Jeti D' Muara Sungai Haji Dorani di sini pada Khamis.
Pasukan bomba dan nelayan membawa mayat mangsa lemas ke Jeti D' Muara Sungai Haji Dorani di sini pada Khamis.
A
A
A

SABAK BERNAM - [DIKEMAS KINI]Dua nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Sungai Besar petang Rabu ditemui lemas pada Khamis.

Mangsa pertama, Kamarudin Che Om, 65, ditemui jam 9.37 pagi dan rakannya, Mohd Noh Wah, 55, dijumpai pada 12.05 tengah hari.

Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Komander Maritim Shahrenliza Ghazali berkata, mayat kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan terapung.

"Pangkalan hadapan Carilamat (PHC) menerima maklumat penemuan mayat pertama iaitu Kamarudin daripada komuniti nelayan, manakala mayat kedua pula ditemukan sekumpulan pemancing di kedudukan 6.9 batu nautika barat daya jeti Sungai Haji Dorani," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Shahrenliza berkata, mayat dibawa ke Jeti Pangkalan Nelayan Sungai Haji Dorani bagi proses pengecaman ahli keluarga sebelum diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.

"Mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk proses bedah siasat," ujarnya.

Mengulas lanjut, Shahrenliza memberitahu, dua nelayan itu turun ke laut dengan menaiki sebuah bot fiber kira-kira jam 5 petang pada Selasa.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua mereka gagal dihubungi keluarga kerana tidak mempunyai telefon bimbit.

Sehubungan itu, katanya, operasi segera diaktifkan bagi mencari dan menyelamat dua nelayan yang hilang tersebut pada Rabu.

Katanya, operasi diselaraskan Maritim Malaysia itu menggunakan lima bot termasuk dari Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan sebuah pesawat udara dari Pasukan Gerakan Udara.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan, dua nelayan termasuk seorang warga emas dikhuatiri hilang di perairan Sungai Besar di sini pada Rabu.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 4.24 petang.