Terima kasih Shuib tunjuk contoh sifat lelaki sejati

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KALAULAH wujud anugerah orang yang paling cool di Malaysia, memang Merak Jalanan nak serahkan kepada pelawak dan penyampai radio, Shuib.

Bayangkanlah, bukan calang-calang fitnah yang menimpa Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad yang baru mendirikan rumah tangga itu.

Hanya kerana pose pada sekeping gambar mengiklankan barangan kemas, Shuib dituduh oleh netizen biadab sebagai ahli Freemason dan didakwa sanggup ‘membunuh’ Allahyarham isterinya, Siti Sarah dengan memaksa arwah ditidurkan ketika beliau tenat di hospital akibat Covid-19.

Namun begitu, beliau mengambil keputusan berdepan situasi ini dengan tenang dan bersemuka terus dengan pemuda bernama Zulhairi Abu Osman, 35, dalam satu pertemuan di Bandar Sri Permaisuri pada Selasa.

Dalam sidang media itu juga, Shuib cukup menjaga adab dan tidak tunduk dengan amarahnya ketika berbincang dengan Zulhairi yang akhirnya meminta maaf atas keterlanjuran dilakukan.

Tidak mahu memanjangkan isu, Shuib juga memaafkan pemuda itu sambil bersalaman penuh ikhlas dan menyifatkan keberaniannya mahu bertentang mata sebagai ‘gentleman’.

Merak Jalanan memang ‘tabik spring’ dengan tindakan diambil usahawan popular itu.

Ini kerana kebanyakan selebriti yang berdepan isu fitnah daripada netizen akan terus melenting lantas mengambil tindakan undang-undang tanpa prejudis kerana enggan ‘beri muka’ kepada mereka yang memfitnah.

Sebaliknya, bapa kepada empat cahaya mata itu memilih jalan lebih ‘halus’ untuk memberi pengajaran kepada Zulhairi yang disifatkannya sebagai naif dan tersilap percaturan dalam memberi kenyataan.

Pengajaran untuk semua, ingatlah fitnah itu sangat bahaya dan tergolong dalam dosa besar kerana jika tidak dibendung, orang yang tidak bersalah pula menjadi mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN:

'Tuduhan ini melampau! Macam saya yang bunuh isteri saya' - Shuib

John Dihani mohon maaf, Shuib tetap teruskan saman

Hilang sabar, Shuib bakal ambil tindakan undang-undang

'Saya rasa tuduhan dan fitnah ini sangat melampau' - Shuib