Hilang sabar, Shuib bakal ambil tindakan undang-undang

Shuib berang apabila dituduh menjadi antara ahli sebuah organisasi bermula dengan huruf F dipercayai merujuk kepada Freemason oleh seorang pengguna Facebook.
Shuib berang apabila dituduh menjadi antara ahli sebuah organisasi bermula dengan huruf F dipercayai merujuk kepada Freemason oleh seorang pengguna Facebook.
A
A
A

PELAWAK dan penyampai radio Suria FM, Shuib berang apabila dituduh menjadi antara ahli sebuah organisasi bermula dengan huruf F dipercayai merujuk kepada Freemason oleh seorang pengguna Facebook.

Tidak hanya itu, tindakan individu terbabit yang turut mengaitkan nama Allahyarham isterinya, Siti Sarah Raisuddin juga menyebabkan Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 39, hilang sabar dan bakal mengambil tindakan undang-undang.

“Banyak hari saya sabar, hari ini saya terpanggil untuk berkenalan dengan mamat ini (pengguna Facebook) yang mana tulisannya terlalu hebat dan berani.

“Kenapa kau libatkan arwah isteri aku Siti Sarah? Freemason? Apa yang kau tahu? Datang cakap depan-depan aku.

“24 jam, cari aku. Peguam tengah jalan kerja. Tunggu!” tulisnya dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagramnya pada Isnin.

Shuib turut memuat naik tangkap layar hantaran individu tersebut yang seolah-olah berniat jahat dengan mengaitkan dia dan arwah isteri dengan tuduhan tersebut.

Dalam satu perkongsian lain, bapa kepada empat anak itu mengakui cukup terkesan dengan fitnah melampau yang dilemparkan kepadanya.

“Terkesan sungguh saya dengan posting dan komen-komen awak yang sememangnya 100% fitnah!

“Fitnah yang terlalu melampau untuk saya dan arwah isteri saya, Siti Sarah Raisuddin. Jangan tahu menulis, memfitnah, tetapi bila saya DM (direct message), awak padam DM saya.

“Insya-ALLAH kita mesti jumpa bertentang mata. Ini adalah terlalu biadab,” tegasnya.

Terdahulu, seorang individu menuduh Shuib sebagai salah seorang ahli organisasi yang bermula dengan huruf F, gara-gara gambar yang menyaksikan isterinya, Watie menutup mata kiri Shuib, manakala Watie sendiri menutup mata kanannya.