Polis cari saksi kes letak kon atas Ford Ranger

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEREMBAN - Polis meminta orang ramai yang menyaksikan perbuatan seorang pemandu lori meletakkan kon di atas bonet sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger di belakang sebuah premis perniagaan Gateway di sini tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, ia susulan laporan polis yang dibuat oleh pemilik kenderaan terbabit pada Isnin lalu.

"Polis telah menerima satu video TikTok tular yang menyatakan polis tidak bertindak terhadap laporan yang dibuat oleh pengadu.

"Semakan mendapati, mangsa telah buat laporan pada 3 Julai jam 5.03 petang berkenaan kejadian khianat terbabit," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, hasil penelitian rakaman kamera tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati kenderaan terbabit telah diletakkan di tempat yang menghalang laluan memunggah barang ke premis tersebut.

"Ia telah menyebabkan pemandu lori terbabit telah meletakkan kon di atas kenderaan mangsa.

"Mangsa telah dihubungi untuk diambil keterangan dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Sesiapa yang melihat atau mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Amizul Azman di talian 012-7985908 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-6033222 bagi membantu siasatan," katanya.