Keluarga Diraja Johor sumbang lebih RM123 juta ketika Covid-19

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan melawat galeri buku selepas Majlis Penghargaan Yayasan-Yayasan Diraja Johor dan Pelancaran Buku Serta Portal Kesultanan Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru hari ini. - Foto Bernama
Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan melawat galeri buku selepas Majlis Penghargaan Yayasan-Yayasan Diraja Johor dan Pelancaran Buku Serta Portal Kesultanan Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keluarga Diraja Johor telah menyumbang lebih RM123 juta bagi membantu sebanyak 1.6 juta rakyat di negeri ini dalam mendepani cabaran sepanjang pandemik Covid-19.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar juga sanggup mengambil risiko dengan menitahkan pegawai-pegawai istana turun ke kelapangan bagi menghulurkan bantuan berupa kit dan peralatan kesihatan demi kesejahteraan rakyat.

"Tidak cukup dengan itu, keluarga Diraja Johor sentiasa di hadapan dalam misi bantuan bencana banjir, ribut, kebakaran, bantuan kepada golongan asnaf, bantuan pendidikan, bantuan kesihatan selain memperjuangkan serta melindungi hak asasi wanita dan kanak-kanak.

"Atas sifat ihsan dan kasih Sultan Johor dan keluarga Diraja Johor, maka lahirlah simbiosis erat antara Istana dengan rakyat jelata,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Yayasan-Yayasan Diraja Johor dan Pelancaran Buku serta Portal Kesultanan Johor, di sini hari ini.

Onn Hafiz turut menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Sultan Johor atas kurniaan peribadi dan bantuan baginda menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) kepada seluruh rakyat di negeri itu.

Beliau berkata, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi dan bantuan kepada rakyat menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) dan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ).

Pada majlis itu, Onn Hafiz turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM7 juta daripada kerajaan negeri kepada YSIJ, YRZSNJ, YKTLJ, Yayasan Sultanah Rogayah (YSR) dan Yayasan Sultanah Fatimah (YSF).

Terdahulu, Sultan Johor berkenan hadir melancarkan buku dan Portal Kesultanan Johor dengan diiringi Permaisuri Johor.

Turut berangkat Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dan Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Portal Kesultanan Johor yang dibangunkan kerajaan negeri berperanan menjadi hab rujukan serta informasi penting mengenai Kesultanan Johor.

Tiga buku yang dilancarkan ialah buku "Takhta Johor” terbitan Royal Press Office (Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor), "Sultan Abu Bakar - Monarch, Reformer, Diplomat” terbitan YSIJ dan "Taat dan Setia: Almarhum Sultan Ismail Johor Dalam Kenangan” terbitan Universiti Teknologi Malaysia. - Bernama