Bersih gesa SPR reformasi sistem undi pos sepenuhnya

Bersih gesa SPR mereformasi sistem undi pos sepenuhnya sekiranya mereka tidak sanggup memanjangkan tempoh kempen PRN yang akan datang. - Foto Bernama
Bersih gesa SPR mereformasi sistem undi pos sepenuhnya sekiranya mereka tidak sanggup memanjangkan tempoh kempen PRN yang akan datang. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mereformasi sistem undi pos sepenuhnya sekiranya mereka tidak sanggup memanjangkan tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Jawatankuasa Pemandu Bersih menerusi kenyataan berkata, mereka perlu membenarkan pengundi pos untuk memuat turun kertas undi dan dokumen lain yang diperlukan dalam format PDF untuk memansuhkan keperluan SPR mengepos atau kurier kertas kepada pengundi pos.

“Cara ini akan menghapuskan kesilapan pengkeranian yang biasa berlaku dengan proses menulis nombor siri dan memasukkan kertas undi pos secara manual. Ini juga akan menjimatkan kos pengurusan oleh SPR.

“Bersih kecewa tempoh kempen masih lagi 14 hari, daripada 29 Julai sehingga 11 Ogos, dan ini akan menambah tekanan kepada pengundi pos khususnya Kategori 1B Pengundi Luar Negara untuk menghantar semula sampul undi pos mereka kepada Pegawai Pengurus sebelum hari pengundian tamat.

“Sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kami menerima banyak aduan daripada pengundi pos bahawa mereka hanya menerima sampul undi pos hampir dengan hari pengundian atau selepas hari pengundian tamat. Tempoh kempen sepatutnya 21 hari minimum,” kata kenyataan itu pada Rabu.

Pada Rabu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh memaklumkan hari pengundian bagi PRN akan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos depan, manakala penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pula adalah 8 Ogos.

Menurutnya, dengan penetapan tarikh tersebut, tempoh berkempen adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding pada 29 Julai sehingga jam 11.59 malam 11 Ogos.

Dalam pada itu, ujar Bersih, bantuan dari kumpulan sukarelawan rakyat seperti Global Bersih dan VoteMalaysia sekali lagi digerakkan jaringan global mereka bagi mengumpulkan sampul undi pos luar negara dan menghantarnya kepada pegawai pengurus masing-masing.

“Usaha yang mulia ini perlu disokong sepenuhnya dan kami menggesa Kementerian Luar Negeri untuk mengarahkan Malaysia Halls bagi membenarkan sukarelawan menggunakannya sebagai pusat pengumpulan kertas undi pos.

“Bersih menyeru semua pengundi di enam negeri ini untuk keluar undi kerana pilihan mereka akan memberi impak langsung kepada kualiti pentadbiran di persekitaran mereka kerana kerajaan negeri masih berkuasa melantik ahli majlis tempatan dan datuk bandar yang akan mentadbir majlis kerajaan tempatan,” kata kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN:

PRN: Hari mengundi 12 Ogos, penamaan calon 29 Julai - SPR

PRN telan kos RM420 juta - SPR