PRN telan kos RM420 juta - SPR

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini dianggarkan menelan kos sebanyak RM420 juta.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, sebanyak 3,450 pusat mengundi dengan 17,425 saluran dibuka.

"Bilangan pusat penamaan calon adalah 173 manakala 186 pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan pada PRN tersebut," katanya ketika sidang media PRN di Menara SPR di sini pada Rabu.

Menurut beliau, seramai 153,760 petugas dilantik mengendalikan proses pengundian.

"Sebanyak 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 saluran juga turut digunakan," ujar Abdul Ghani.

Beliau berkata, daftar pemilih yang akan digunakan adalah sehingga Daftar Pemilih Tambahan April yang dikemaskini 21 Jun lalu.

Ia membabitkan 9,773,571 orang pemilih yang terdiri daripada 9,674,456 pengundi biasa, tentera dan pasangan (49,660), polis dan pasangan (47,728) dan pengundi tidak hadir luar negara (1,727).

"Daftar pemilih ini akan dijual mulai 17 Julai," katanya.

Ujar Abdul Ghani, semakan pusat dan saluran mengundi serta nombor bilangan boleh dibuat mulai 17 Julai.

Semakan boleh dibuat melalui portal https://mysprsemak.spr.gov.my atau hotline SPR 03-8892 7018/ 7218/ 7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak.