KDN serah kepada SPRM siasat kakitangan JPN minta wang

Saifuddin Nasution - Foto Bernama
Saifuddin Nasution - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenal pasti kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengambil kesempatan dengan meminta sejumlah bayaran yang besar daripada pemohon warganegara yang telah mendapat kelulusan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan tersebut adalah bertentangan dengan proses sebenar kerana tiada sebarang bayaran dikenakan melibatkan permohonan yang telah diluluskan.

Menurutnya, nama pihak terlibat akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada Rabu untuk siasatan selanjutnya.

"Lebih 14,000 permohonan menjadi warganegara yang belum dibuat keputusan dan mereka ini sudah menunggu lama, ada yang sehingga 15 tahun.

"Sejak saya masuk dan kita permudahkan proses kelulusan berdasarkan pertimbangan sewajarnya, kita dapati wujud elemen, pemohon ini dihubungi oleh kakitangan JPN yang minta wang.

"Saya dihubungi terus pengadu berkait tindakan pegawai itu yang meminta sejumlah wang yang besar, bagi memperoleh dokumen yang sudah diluluskan itu," katanya pada sidang media khas, di sini pada Rabu.

Ditanya sama ada kegiatan meminta sogokan telah lama berlaku, Saifuddin bagaimanapun enggan membuat sebarang spekulasi.

"Kita tak boleh buat spekulasi bahawa ini satu-satu aduan, adakah seorang, tak bolehlah begitu.

"Saya cuma sebut bahawa ini adalah aduan spesifik yang sampai kepada saya, segera saya adu kepada SPRM," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak melayan sebarang bentuk permintaan pembayaran kerana tidak ada sebarang pembayaran dikenakan dalam urusan permohonan kewarganegaraan.

"Bagi permohonan kewarganegaraan ini ada satu 'committee' yang akan membuat pertimbangan dan akan mengesyorkan sama ada ia lulus atau tidak.

"Pemohon akan dimaklumkan tentang kelulusan permohonannya dan tidak ada sebarang bayaran dikenakan," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mendedahkan wujudnya amalan salah laku dalam kalangan pegawai JPN berhubung permohonan kewarganegaraan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!