Cekik, hentak kepala ibu dengan batu bata

Wanita itu ditahan reman selepas dipercayai mencekik, menumbuk muka dan kepala serta menghentak kepala mangsa dengan batu bata.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita direman empat hari bermula hari ini selepas dipercayai memukul ibu kandungnya di sebuah rumah di Kampung Padang Tengir, Manir di sini semalam.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu, Roszita Md Saad terhadap suspek berusia 30-an bagi membantu siasatan kes itu.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam, suspek juga ibu kepada dua anak lelaki itu bertindak menumbuk muka dan kepala mangsa yang berusia 56 tanpa diketahui punca.

"Tidak cukup dengan itu, suspek juga mencekik dan menghentak kepala ibunya dengan batu bata yang sengaja diambil di luar rumah.

"Akibat kesakitan, mangsa nekad melarikan diri keluar dari rumah. Susulan perbuatan itu juga, mangsa mengalami kecederaan bengkak di muka, sakit di kepala dan leher," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber berkata, mangsa mendakwa sebelum ini dia sering dipukul suspek dengan menggunakan kayu, besi atau apa sahaja barang yang ada berhampirannya tanpa sebarang sebab.

"Bukan sahaja dirinya, wanita itu mendakwa suspek turut bertindak memukul dua cucunya yang masih kecil.

"Malah, baru-baru ini, kanak-kanak itu ada mengadu kepada mangsa yang suspek ada memukul mereka," katanya.

Menurutnya, tidak tahan dipukul serta risau akan keselamatan diri dan dua cucunya pada masa akan datang, mangsa nekad membuat laporan polis semalam.

"Wanita itu disiasat di bawah Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2012 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan," katanya.