Hampir sejam bergelut dengan 'king cobra'

Anggota APM mengambil masa kira-kira 49 minit sebelum berjaya menjerut ular tedung selar yang bersembunyi di rasuk tiang titi dekat Kampung Lubuk Tualang, Sik.
Anggota APM mengambil masa kira-kira 49 minit sebelum berjaya menjerut ular tedung selar yang bersembunyi di rasuk tiang titi dekat Kampung Lubuk Tualang, Sik.
A
A
A

SIK - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil masa kira-kira 49 minit untuk menangkap ular tedung selar yang bersembunyi bawah titi dekat Kampung Lubuk Tualang di sini pada Selasa.

Pegawai APM Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, seramai empat orang anggota ditugaskan diketuai Sarjan (PA) Nazipah Rosli bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.

Menurutnya, pada mulanya anggota berdepan kesukaran kerana reptilia itu bersembunyi di bahagian rasuk tiang titi berkenaan.

"Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Sik menerima panggilan kecemasan berkenaan ular daripada orang awam pada jam 6 petang untuk meminta bantuan.

"Apabila sampai kita dapati ular ini bersembunyi di rasuk tiang titi menyebabkan operasi sedikit sukar," katanya.

Menurutnya, dalam tempoh 49 minit, akhirnya ular seberat lebih kurang 10 kilogram dan panjang kira-kira 4.8 meter itu berjaya dijerut menggunakan peralatan khas.

Haisul berkata, pengaruh cuaca panas mendorong reptilia berbahaya keluar dari tempat persembunyian dan mencari kawasan lebih redup serta sejuk untuk berteduh di samping mudah untuk mencari makanan.

"Oleh itu, orang ramai diminta supaya lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti luar dan peka dengan keadaan sekeliling," katanya.

Jika berdepan sebarang kecemasan, APM Sik boleh dihubungi di talian 04-469 8221.