Rasuah: JIM kongsi maklumat bersama SPRM

Ruslin - Foto Bernama
Ruslin - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berkongsi maklumat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai siasatan kes rasuah dan integriti.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya merujuk beberapa laporan berita yang diterbitkan pada Selasa mengaitkan dakwaan terdapat segelintir kakitangan jabatan ini terlibat dengan amalan rasuah dan pelanggaran integriti.

Menurutnya, JIM menyerahkan sepenuhnya siasatan berkaitan dakwaan terbabit kepada pihak SPRM.

"Jabatan ini sentiasa berhubung, berbincang dan berkongsi maklumat dengan SPRM untuk membantu proses siasatan dengan lebih telus tanpa sebarang gangguan daripada pihak luar.

"Dalam konteks ini, JIM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang didapati terlibat dengan salah laku rasuah sama ada yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) atau mana-mana pejabat imigresen di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, jika terdapat pegawai Imigresen yang didapati bersalah, JIM tidak akan melindungi pegawai terbabit serta akan mengambil tindakan di peringkat jabatan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Jelas Ruslin, pihaknya komited dalam menambah baik prosedur operasi standard (SOP) untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan juga pelawat asing yang memasuki Malaysia.

Sebelum itu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui wujud segelintir penguasa imigresen di KLIA yang masih mengamalkan sistem dan amalan lama, dipercayai mengandungi unsur rasuah.

Tegas Anwar, kerajaan melalui pihak berkuasa berkaitan perlu bertindak segera dan keras dalam menangani amalan tersebut agar ia tidak menjejaskan kerjaya, imej penjawat awam serta negara secara keseluruhan.

Begitu pun, Anwar berkata, 'amalan lama' itu yang didakwa berlaku dalam kalangan penguat kuasa imigresen tidak memberi gambaran secara umum mengenai kerosakan yang berlaku dalam jabatan berkenaan.