Pemansuhan tol Plaza Sungai Nyior di bawah kuasa Pusat

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Isu pemansuhan tol Plaza Sungai Nyior adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan berikutan perjanjian yang dibuat sebelum ini adalah antara syarikat konsesi lebuh raya tersebut dengan kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kekangan yang dihadapi kini adalah isu pampasan yang mana, sekiranya tol tersebut dimansuhkan, kerajaan Persekutuan perlu membayar pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya tersebut.

Kon Yeow berkata, pihaknya sedar isu tersebut akan dimainkan menjelang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) namun ia bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Isu Tol Sungai Nyior ini di bawah kuasa Persekutuan... mereka yang buat perjanjian dengan syarikat konsesi lebuh raya tersebut. Jika ia dibatalkan, maka isu pampasan akan timbul.

"Bagi pihak kerajaan negeri, saya percaya ia perlu dipertimbangkan oleh kementerian berkenaan untuk melihat bentuk pampasan yang diperlukan. Ini hanya isu pampasan yang mana, ia turut berlaku pada lebuh raya lain sebelum ini.

"Sekiranya isu ini akan terus dimainkan menjelang kempen PRN, kita akan ambil maklum 'permainan' ini kerana bukan di bawah bidang kuasa kita (negeri)," katanya pada sidang akhbar di Jalan Batu Gantung di sini pada Selasa.

Kon Yeow berkata, pemansuhan tol berkenaan memerlukan penelitian dan pertimbangan mendalam kerana ia membabitkan kepentingan banyak pihak.

Plaza Tol Sungai Nyior mula beroperasi pada Januari 2007 dan pada Oktober 2015, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) mengumumkan kadar kenaikan tol terbabit antara 50 sen sehingga RM1.60.

Kadar baharu tol bagi kelas pertama adalah RM1.20 berbanding 70 sen, kelas kedua RM2.40 berbanding RM1 dan kelas tiga RM3.60 berbanding RM2.

Ditanya sama ada isu Tol Sungai Nyior akan dimasukkan ke dalam manifesto PRN nanti, Kon Yeow berkata, intipati manifesto belum dimuktamadkan lagi ketika ini.

Sebelum ini, Parti Gerakan Pulau Pinang mendesak DAP yang mengetuai kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung kegagalan memansuhkan tol Plaza Sungai Nyior seperti yang dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 lalu.

Lebih mengecewakan, tol berkenaan masih beroperasi sehingga ke hari ini, malah kadar tol baharu yang dikenakan pada tahun 2015 membebankan pengguna laluan terbabit.